MANCHESTER: Pemilik bersama baru Manchester United, Jim Ratcliffe, berkata “pilihan” beliau adalah untuk membina stadium baru untuk kelab tersebut yang juga boleh “digunakan untuk utara England”.
United telah bermain di Old Trafford, yang boleh menampung 74,310 orang, sejak 1910 tetapi Ratcliffe mengakui bahawa ia kini “memerlukan pembaikan”.
Stadium baru boleh dibina di sebelah sebuah tanah di Trafford Park sekarang.
“Sudah tiba masanya seseorang membina stadium nasional di kawasan utara England,” kata jutawan British itu.
Ratcliffe berkata projek itu berpotensi menjadi “mangkin untuk penjanaan semula” di Manchester selatan.
Oleh itu perbincangan soal menggunakan wang pembayar cukai patut diadakan bersama kerajaan.
Dalam temu duga pertama beliau bersama pihak media sejak menyelesaikan perjanjiannya untuk membeli 27.7 peratus kelab itu, Ratcliffe berkata:
“Jika dicapai, ia jelas akan menjadi pilihan saya (untuk membina stadium baru).”
Ratcliffe juga berbicara tentang potensi stadium baru itu untuk menjadi stadium tuan rumah perlawanan England dan peringkat separuh akhir Piala FA, kedua-duanya berlangsung di Wembley di London serta perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Old Trafford tidak dipilih bagi perlawanan pada Euro 2028.
Kali akhir mereka mengadakan perlawanan peringkat akhir Liga Juara-Juara adalah pada 2003 dengan AC Milan menewaskan Juventus melalui sepakan penalti.
Ratcliffe, 71 tahun, yang lahir di Manchester, berjaya mendapatkan sebahagian kawalan kelab tersebut dengan 1.25 bilion euro ($2.1 bilion).
Perjanjian itu termasuk AS$300 juta untuk pelaburan masa depan stadium kelab tersebut.
Ratcliffe berkata bahawa pilihan untuk memperbaharui stadium Old Traffrod sekarang akan menghasilkan sebuah stadium yang boleh menampung 80,000 hingga 90,000 peminat, tetapi keadaan “tidak akan sempurna” kerana usia bangunan tersebut.
Semasa berbincang tentang pembinaan stadium baru, beliau berkata:
“Trafford Park merupakan tempat revolusi perindustrian bermula. Jika anda melihat wilayah Manchester hari ini... ia kelihatan seperti terbiar dan beberapa bahagiannya agak lapuk.”
Ratcliffe juga berkata bahawa sebuah pasukan yang bekerjasama rapat akan diadakan untuk meneroka kemungkinan membina stadium baru.
Beliau juga berkongsi bahawa beliau telah bercakap dengan bekas kapten United, Gary Neville.
Apabila ditanya sama ada pembiayaan awam akan digunakan, beliau menambah:
“Saya fikir, sebagai sebahagian daripada projek penjanaan semula, perlu ada perbincangan dengan kerajaan.”
Majlis Trafford telah menghasilkan rancangan draf tempoh 15 tahun untuk penjanaan semula kawasan sekitar stadium, yang ditetapkan untuk perundingan awam.
Draf tersebut menyatakan bahawa ia akan mewujudkan “tetapan bermutu tinggi untuk Manchester United tatkala mereka terus memperbaiki rancangan untuk menghasilkan stadium bola sepak bertaraf dunia”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg