SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Raya ‘penjaga gawang terhebat di dunia’

Raya ‘penjaga gawang terhebat di dunia’

Jadi tonggak kebangkitan pasukan itu apabila tewaskan Sporting CP 1-0 dalam kempen Liga Juara-Juara
Apr 8, 2026 | 2:37 PM

Raya ‘penjaga gawang terhebat di dunia’

Arsenal, Sporting CP, David Raya, Liga Juara-Juara
Kemenangan Arsenal menentang Sporting CP 1-0 adalah perlawanan ketujuh pasukan itu tanpa dibolos bagi David Raya (kanan) dan Arsenal dalam kempen Liga Juara-Juara, iaitu jumlah tertinggi antara semua penjaga gawang dan kelab dalam kejohanan itu. - Foto REUTERS

LISBON (Portugal): David Raya ialah penjaga gawang terhebat di dunia, sekurang-kurangnya menurut rakan sepasukannya di Arsenal.

Pemain The Gunners (nama julukan Arsenal) itu mempertahankan gawangnya dengan beberapa aksi hebat untuk menjaminkan kemenangan 1-0 ke atas Sporting CP dalam perlawanan pusingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) pada malam 7 April.

Jarang sekali bagi sebuah pasukan yang mendahului Liga Perdana England (EPL) sambil beraksi dalam pusingan suku akhir UCL, pada yang sama memiliki penjaga gawang yang berada dalam perbincangan bagi anugerah pemain terbaik tahun ini (2026), namun Raya wajar dipertimbangkan.

Pemain Sepanyol itu telah mencatat 22 perlawanan tanpa dibolos dalam 41 penampilan untuk semua pertandingan bagi musim 2025/26 ini.

Malah, persembahannya pada 7 April sekali lagi amat penting bagi kejayaan pasukannya.

Tekanan dan kritikan terhadap pasukan di bawah kendalian Mikel Arteta itu semakin kuat menjelang perlawanan di Stadium Jose Alvalade.

Arsenal melawat kubu Sporting CP di Lisbon, Portugal, menyusuli kekalahan berturut-turut buat kali pertama bagi musim ini (2025/26).

Namun, Raya tidak diturunkan dalam kedua-dua permainan yang kalah itu.

Arteta memilih untuk mengekalkan Kepa Arrizabalaga di gawang ketika tewas kepada Manchester City dalam final Piala Carabao, dan kemudian kepada Southampton dalam suku akhir Piala FA.

Keputusan Arteta untuk menurunkan Kepa dalam final Piala Carabao menerima kritikan selepas kesilapannya menghadiahkan gol mudah kepada City.

Kesilapan itu turut menyebabkan Arsenal terpaksa meneruskan penantian untuk menjulang piala utama sejak 2020.

Namun, persembahan Raya ketika menentang Sporting CP membuktikan mengapa penjaga gol berusia 30 tahun itu sepatutnya menjadi pilihan utama The Gunners.

Penyerang Arsenal, Kai Havertz, menyifatkan persembahan Raya itu sebagai “luar biasa”.

Havertz memberitahu Amazon Prime:

“Saya rasa beliau masih dipandang rendah dalam dunia bola sepak, tetapi bagi saya, sejak dua musim lalu, beliau merupakan penjaga gol terbaik di dunia.

“Beliau hebat dan telah menyelamatkan kami berkali-kali dan kami sangat gembira dengan kehadirannya.”

Setakat ini, Raya telah mencatat jumlah perlawanan tanpa dibolos yang tertinggi dalam kalangan semua penjaga gawang dalam lima liga Eropah utama.

Beliau mendahului Yann Sommer daripada kelab Italy, Inter Milan, sebanyak empat perlawanan tanpa dibolos.

Raya kini bukan sahaja tonggak penting di Arsenal, malah juga merupakan sebahagian daripada kumpulan kepimpinan pasukan itu.

Pada awal perlawanan menentang Sporting CP pada malam 7 April, Raya menepis rembatan Maxi Araujo, sebelum menggagalkan tiga lagi percubaan berbahaya.

Aksi itu berbaloi kerana gol lewat Havertz akhirnya menjamin kemenangan untuk Arsenal.

“Itu memang tugas saya. Saya cuba membantu pasukan sebaik mungkin dalam setiap perlawanan, bukan sahaja dari segi pertahanan tetapi juga mengawal rentak permainan dan memberi arahan,” kata Raya kepada Amazon Prime.

Kemenangan itu juga perlawanan ketujuh tanpa dibolos bagi Raya dan Arsenal dalam kempen UCL, iaitu jumlah tertinggi antara semua penjaga gawang dan kelab dalam kejohanan itu.

Namun, Raya juga memainkan peranan penting dalam serangan Arsenal melalui hantaran jauh yang tepat dan berkesan.

Kemahiran itu dihargai Arteta, yang menegaskan bahawa Raya menepati kehendak penjaga gawang moden, yang semakin berkembang dan berubah.

“Beliau (Raya) sangat luar biasa, hebat dan menakjubkan. Kami sangat gembira memilikinya,” kata Arteta. – Agensi berita.

Sekilas keputusan perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada malam 7 April:

Sporting CP vs Arsenal: 0-1

- Gol oleh Kai Havertz pada minit ke-91 memberi Arsenal pendahuluan

Real Madrid vs Bayern Munich: 1-2

- Luis Diaz membuka tirai pada minit ke-42 untuk memberi Bayern pendahuluan.

- Harry Kane menggandakan kedudukan Bayern dengan rembatan hebat dari luar kotak penalti pada minit ke-47.

- Real merapatkan jurang pada minit ke-75, hasil gol Kylian Mbappe.

Arsenal akan menyambut Sporting CP di Stadium Emirates bagi perlawanan suku akhir kedua pada malam 15 April.

Pada malam yang sama, Real dijangka cuba bangkit apabila melawat Allianz Arena untuk menentang Bayern.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg