BERGAMO: Penjaga gawang Arsenal, David Raya, mendapatkan satu mata untuk Arsenal apabila beliau berjaya menyelamatkan percubaan sepakan penalti Atalanta untuk perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara pada 20 September.
Beliau berjaya untuk meneka arah yang betul bagi menghalang pemain lawan, Mateo Retegui, daripada menjaringkan penaltinya pada minit ke-51.
Ini merupakan perlawanan yang sukar untuk pasukan bimbingan Mikel Arteta yang terpaksa bertahan daripada serangan Atalanta di Stadio di Bergama dan hanya beberapa kali mengancam gawang Atalanta.
Peluang terbaik Arsenal jatuh kepada Bukayo Saka pada separuh masa pertama di mana beliau menyaksikan tendangan percumanya diselamatkan oleh penjaga gawang Atalanta, Marco Carnesecchi.
Pada separuh masa kedua pula, Gabriel Martinelli juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi hanya berjaya melambungkan percubaannya.
Arsenal, yang bermain tanpa Martin Odegaard yang cedera, tidak bermain pada tahap prestasi terbaik tetapi dapat memastikan mereka mendapatkan satu mata hasil prestasi baik Raya.
Atalanta diberikan peluang untuk mendahului perlawanan apabila Thomas Partey kelihatan seperti telah mengasari Ederson di dalam kawasan kotak penalti dan Atalanta dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Clement Turpin.
Selepas semakan penolong pengadil video (VAR) yang lama, Retegui akhirnya mengambil sepakan penaltinya, tetapi percubaannya dibaca oleh Raya yang mempamerkan ketangkasan yang hebat untuk menghalang bukan sahaja percubaan penalti tersebut, malah percubaan susulannya juga.
“Ini merupakan perlawanan yang amat sukar tetapi saya rasa bahawa kami juga telah membuatnya sukar bagi mereka,” kata Raya.
“Kami berjaya mendapatkan satu mata di tempat lawan untuk perlawanan pertama Liga Juara-Juara Eropah.
“Kami sepatutnya bermain dengan lebih baik lagi, tetapi, jikalau kami tidak boleh menang perlawanan ini, kami sekurang-kurangnya tidak patut kalah,” tambah beliau.
Apabila ditanya tentang aksinya menyelamatkan penalti itu, Raya berkata:
“Saya bernasib baik dapat teka arah yang betul dan walaupun bola jatuh kepadanya (Retegui), saya cukup pantas untuk bangun dan menghalang percubaannya sekali lagi. Hebat untuk mengekalkan ‘clean sheet’.”
Ini merupakan pertarungan pertama antara Atalanta dengan Arsenal di Liga Juara-Juara Eropah selepas Atalanta berjaya melayakkan diri mereka untuk pertandingan itu selepas mengakhiri Serie A di tempat keempat musim lepas, dan mereka juga memenangi Liga Eropah.
Walaupun Atalanta kecewa tidak dapat memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan yang hebat, pasukan bimbingan Gian Piero Gasperini membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang tidak mudah untuk ditewaskan dalam pusingan kumpulan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg