MADRID (Sepanyol): Real Madrid mengalahkan Atletico Madrid 4-2 melalui sepakan penalti untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Perlawanan 16 terakhir yang mendebarkan itu berakhir 2-2 selepas masa tambahan di Metropolitano pada 12 Mac.
Antonio Rudiger menyempurnakan sepakan penalti kemenangan untuk Real selepas perlawanan kedua mereka berakhir 1-0 untuk Atletico dengan gol awal dari pemain tengah Conor Gallagher.
Vinicius Jr terlepas sepakan penalti lewat di separuh masa kedua untuk Real.
Atletico berang selepas sepakan penalti penyerang Julian Alvarez dibatalkan pengadil.
Ini kerana beliau tergelincir dan kaki kirinya menyentuh bola sebelum ditendang dengan kaki kanannya, menjadikan ia dua sentuhan. Tendangan penalti yang dibatalkan itu sepatutnya menyamakan kedudukan 2-2 dalam sepakan penalti.
Penjaga gawang Atletico Jan Oblak menyelamatkan sepakan penalti Lucas Vazquez tetapi Marcos Llorente menyudahkan tendangannya dan membawa kemenangan bagi juara bertahan, Real, yang sedang berusaha meraih kemenangan Piala Eropah ke-16.
Pasukan Sepanyol itu akan menentang Arsenal di peringkat suku akhir.
“Pada akhirnya, sepakan penalti adalah satu loteri,” kata penjaga gawang Real, Thibaut Courtois, kepada TV Sepanyol Movistar Plus.
“Saya rasa (Alvarez) menyentuh bola dua kali dan saya beritahu pengadil. Ia bukan perkara yang mudah dilihat dan ia adalah nasib malang mereka. Kami tidak bermain dengan baik, tetapi kami berjaya melaluinya dan itu yang penting.”
Selepas Real menang 2-1 dalam perlawanan pertama di Santiago Bernabeu minggu lalu, Atletico bermula dengan pantas dengan Gallagher menjaringkan gol selepas 23 saat, menanduk bola pertama dari hantaran rendah Rodrigo De Paul.
Gol awal Atletico itu meletakkan Madrid dalam kedudukan yang tidak selesa, terpaksa bekerja dengan sabar untuk menembusi benteng pertahanan rendah tuan rumah.
Atletico yakin dengan kemampuan menampung serangan sambil mencipta beberapa peluang melalui serangan balas.
Vinicius Jr, Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Rodrygo kelihatan kurang cemerlang – gagal mencipta peluang menembusi pertahanan Atletico yang teratur.
Alvarez menjadi ancaman dalam serangan balas, dengan Courtois menyelamatkan beberapa percubaan penyerang Argentina itu.
Real Madrid akhirnya mencipta peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi Mbappe.
Pemain pertahanan Atletico, Clement Lenglet, menarik penyerang Perancis itu dari belakang menyebabkan penalti diberikan.
Namun, bola tendangan Vinicius melepasi palang.
Dalam sepakan penalti penentuan, Mbappe menjaringkan gol pertama untuk Real. Jude Bellingham juga menjaringkan gol selepas Alexander Sorloth menjaringkan gol pertama Atletico.
Atletico tidak berjaya bangkit. Rudiger menyempurnakan sepakan penalti kemenangan dengan tendangan rendah masuk ke gawang.
“Ia menyakitkan kerana kami bermain dengan baik,” kata Oblak kepada Movistar Plus.
“Kami kekurangan nasib. Cara ia berakhir sangat menyakitkan, mengecewakan... memilukan.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg