Real Madrid menuntut sumbangan bagi kos penubuhan projek Liga Super Eropah (ESL) yang gagal itu daripada enam kelab Liga Perdana yang menarik diri sejurus selepas pelancarannya. 

Kelab Sepanyol itu mengesahkannya kepada Reuters pada 20 Oktober.

The Athletic melaporkan jumlah kos itu boleh mencecah €80 juta ($114.8 juta). Real menuntut bayaran daripada Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur.

Keenam-enam kelab itu antara sembilan daripada 12 kelab pengasas pertandingan tersebut yang menarik diri dalam tempoh tiga hari selepas pelancarannya pada 2021, di tengah-tengah tentangan meluas.

Real tidak segera mengesahkan sama ada mereka turut menuntut bayaran daripada tiga lagi kelab yang menarik diri awal, iaitu AC Milan, Inter Milan dan Atletico Madrid.

Real Madrid berkata enam kelab England itu bertanggungjawab ke atas kos penubuhan pertandingan itu, yang setakat ini ditanggung oleh Juventus, Barcelona dan Real.

Tottenham enggan mengulas, manakala lima kelab Liga Perdana yang lain tidak segera menjawab permintaan komen daripada Reuters.

The Athletic melaporkan bahawa kelab-kelab itu menandatangani perjanjian pemegang saham bagi Syarikat Liga Super Eropah, syarikat induk di sebalik pertandingan itu. Namun, tidak jelas sama ada kontrak itu menyatakan secara terang tanggungjawab mereka terhadap kos penubuhan. 

Liga Super runtuh sejurus selepas pelancarannya apabila sembilan kelab itu menarik diri.

Juventus kemudian keluar daripada projek itu, dan Barcelona menarik diri secara rasmi pada Februari. Ini menjadikan Real Madrid satu-satunya kelab pengasas yang masih kekal.

Real, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dan European Football Clubs mengumumkan perjanjian prinsip pada 11 Februari bagi menyelesaikan pertikaian undang-undang mereka berkaitan Liga Super. – Reuters.