Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Revolusi’ Sukan Paralimpik bermula semasa majlis pembukaan

Paris rai tema keterangkuman sukan dalam masyarakat
Aug 29, 2024 | 1:49 PM
Cuaca semasa acara pembukaan Sukan Paralimpik Paris 2024 diadakan dengan penuh keindahan, berbanding dengan pembukaan Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung semasa hujan lebat. Pembukaan Sukan Paralimpik Paris 2024 dihiasi dengan langit berwarna keemasan.
Cuaca semasa acara pembukaan Sukan Paralimpik Paris 2024 diadakan dengan penuh keindahan, berbanding dengan pembukaan Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung semasa hujan lebat. Pembukaan Sukan Paralimpik Paris 2024 dihiasi dengan langit berwarna keemasan. - Foto REUTERS

PARIS: Majlis pembukaan menakjubkan menandakan permulaan Sukan Paralimpik Paris 2024 menyaksikan para atlet berarak di sepanjang lorong Avenue des Champs-Elysees yang ikonik ke Place de la Concorde dengan penuh kegemilangan.

Seperti Sukan Olimpik, upacara pembukaan Paralimpik diadakan di luar stadium buat kali pertama di ibu negara Perancis.

Upacara utama diadakan di Place de la Concorde, pada malam musim panas dan tampak indah di tengah bandar.

Penganjur menganggarkan sekitar 65,000 orang hadir dan penonton boleh menyaksikan perbarisan secara percuma sebelum acara terbuka bertiket.

Aksi sukan 11 hari berlangsung pada 29 Ogos, dengan Perancis menjadi tuan rumah Sukan Paralimpik buat kali pertama.

Sekitar 4,400 atlet daripada 168 delegasi siap mengambil bahagian dalam 22 sukan Paralimpik, bersaing bagi merebut 549 pingat emas.

Presiden jawatankuasa penganjur Paris 2024, Tony Estanguet, berkongsi bahawa majlis tersebut melambangkan permulaan “revolusi Paralimpik” yang diketuai para atlet.

“Setiap emosi yang anda cetuskan, kami akan membawa mesej yang tidak akan dilupakan: (Keupayaan) anda tiada batasan, maka kami tidak akan menjadi penghambatnya,” katanya.

Pengarah artistik majlis tersebut, Thomas Jolly, berjanji majlis itu akan menjadi “satu tontonan yang akan mempamerkan atlet Paralimpik dan nilai-nilai yang mereka pamerkan”.

Dengan mengadakan acara tersebut di Place de la Concorde – dataran terbesar di Paris – ia berfungsi sebagai simbol bahawa Paris mengetengahkan keterangkuman individu kurang upaya dalam masyarakat.

Sukan Olimpik mempamerkan atlet menaiki bot menyusuri Sungai Seine dalam hujan lebat, namun upacara pembukaan Sukan Paralimpik pula menyaksikan perarakan berlangsung di laluan sepanjang Champs-Elysees di bawah langit keemasan.

Bekas perenang Paralimpik Perancis, Theo Curin, merupakan bintang segmen pembukaan, membawa atlet menggunakan teksi dihiasi oleh Phryges – maskot Paris 2024 yang disesuaikan untuk Paralimpik.

Pelbagai pertunjukan artistik menampilkan penghibur kurang upaya yang menonjolkan isu masyarakat mengenai keterangkuman, satu paradoks dunia yang dikatakan inklusif tetapi tetap penuh dengan prejudis sebagai tema utama.

Unit jitu aerobatik, Patrouille de France, mengadakan pertunjukan udara sebelum atlet paralimpik melangkah masuk, manakala penyanyi Perancis Christine dan Queens turut naik ke pentas utama di Place de la Concorde untuk membuat persembahan.

Susulan ucapan oleh Estanguet dan presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Encik Andrew Parsons; dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, mengisytiharkan temasya itu dibuka secara rasmi.

“Hakikat bahawa peluang ini hanya wujud dalam sukan pada 2024 adalah mengejutkan. Ia adalah bukti bahawa kita boleh dan mesti melakukan lebih banyak lagi untuk memajukan keterangkuman bagi golongan kurang upaya,” kata Encik Parsons.

“Inilah sebabnya 225 tahun selepas Place de la Concorde menjadi tempat utama Revolusi Perancis, saya berharap Paris 2024 pula memulakan revolusi Paralimpik – revolusi keterangkuman,” tambahnya.

Kawah paralimpik dinyalakan atlet paralimpik Nantenin Keita, Alexis Hanquinquantan, Charles Antoine Kouakou, Fabien Lamirault dan Elodie Lorandi.

Upacara pembukaan Paralimpik 2024 diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang memukau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg