Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan penyokong, pemain City berpesta dalam hujan rai kemenangan 3 piala

Jun 13, 2023 | 10:22 AM
BAK LAUTAN BIRU MUDA: Pemain Manchester City memperagakan tiga trofi utama yang dimenangi mereka musim ini, Liga Perdana England (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah, semasa perarakan bas tanpa bumbung di kawasan utara Manchester pada Selasa.
BAK LAUTAN BIRU MUDA: Pemain Manchester City memperagakan tiga trofi utama yang dimenangi mereka musim ini, Liga Perdana England (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah, semasa perarakan bas tanpa bumbung di kawasan utara Manchester pada Selasa. - Foto AFP
DISAMBUT DENGAN SORAKAN: Penyokong Manchester City bersorak sekehendak untuk menyambut ketibaan pemain pasukan kegemaran mereka. Pemain Manchester City dibawa berarak di sekeliling kota Manchester bagi meraikan pencapaian mereka memenangi tiga piala utama pada musim yang baru berakhir.
DISAMBUT DENGAN SORAKAN: Penyokong Manchester City bersorak sekehendak untuk menyambut ketibaan pemain pasukan kegemaran mereka. Pemain Manchester City dibawa berarak di sekeliling kota Manchester bagi meraikan pencapaian mereka memenangi tiga piala utama pada musim yang baru berakhir. - Foto AFP

Pusat bandar raya Manchester berubah wajah menjadi lautan biru muda pada Selasa apabila dibanjiri peminat kelab Manchester City yang meraikan kejayaan bersejarah kelab tersebut dalam satu perarakan.

Sorakan gemuruh, nyanyian lagu-lagu pasukan dan bunyi semboyan menghangatkan ruang udara apabila bas tidak berbumbung yang membawa bintang-bintang bola sepak pimpinan Pep Guardiola muncul semasa acara perarakan trofi tersebut.

Panji-panji dan sepanduk dengan logo kelab berserta kata-kata ‘Juara Treble 2023’ dikibar dengan penuh semangat dan kemegahan.

Kilat yang menyabung memaksa penganjur menangguhkan detik permulaan perarakan. 

Tetapi hujan yang turun semasa perarakan tidak sedikit pun melemahkan semangat ratusan ribu peminat yang hadir untuk meraikan kemenangan yang lama didambakan.

HUJAN? TIDAK MENGAPA: Dua penyokong Manchester City ini memakai baju hujan sementara menanti perarakan pasukan kesayangan mereka di kota Manchester. Perarakan itu tergendala sebentar kerana hujan lebat, tetapi diteruskan juga kerana ribuan penyokong City telah menanti di tepi jalan selama beberapa jam.
HUJAN? TIDAK MENGAPA: Dua penyokong Manchester City ini memakai baju hujan sementara menanti perarakan pasukan kesayangan mereka di kota Manchester. Perarakan itu tergendala sebentar kerana hujan lebat, tetapi diteruskan juga kerana ribuan penyokong City telah menanti di tepi jalan selama beberapa jam. - Foto REUTERS

Beberapa pemain, seperti Erling Haaland, kelihatan tidak berbaju sambil menjulang trofi dalam keadaan basah kuyup di atas bas.

Keriuhan mencapai kemuncak setiap kali ketiga-tiga piala dijulang oleh barisan pemain di atas bas.

Manchester City mencipta sejarah selepas menjulang Piala Liga Juara-Juara buat julung-julung kali dalam perlawanan akhir di Stadium Olimpik Ataturk di Istanbul, Turkey, pada 10 Jun.

Pasukan pimpinan kapten Ilkay Gundogan itu berjaya menepis cabaran Inter Milan dengan kemenangan tipis 1-0.

Kemenangan dicapai selepas pemain tengah Rodri menyempurnakan serangan dengan tendangan kemas pada minit ke-68 perlawanan.

Sebelum itu, City berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) dan memenangi Piala FA, sekali gus melengkapkan kemenangan ‘Treble’ bersejarah.

Kemaraan City gagal disekat oleh Manchester United, yang tewas 2-1 dalam Piala FA.

Niat Arsenal untuk merampas takhta EPL daripada genggaman City pula terbantut dalam pusingan akhir liga.

Pencapaian itu bermakna kelab milik hartawan Amiriah Arab Bersatu (UAE) itu kini menyertai United dalam senarai kelab elit Eropah dengan gelaran Juara Treble.

United memenangi ketiga-tiga kejuaraan tersebut pada 1999 di bawah kepimpinan pengurus legenda Sir Alex Ferguson.

Perarakan trofi pada Selasa anjuran dewan bandar raya Manchester itu turut diserikan dengan kehadiran bekas pemain kelab tersebut.

Kepuasan jelas terpancar pada riak wajah peminat yang mula membanjiri jalan raya utama beberapa jam sebelum perarakan bermula sekitar 6 petang.

Mereka menunggu sejak awal untuk merakam detik bersejarah dan menatap wajah bintang kesayangan seperti Haaland dan Kevin De Bruyne.

TERLALU GIRANG: Pemain Manchester City dari Norway, Erling Haaland, mengangkat trofi Liga Juara-Juara Eropah semasa berpesta dengan rakan sepasukan di bas yang membawa mereka berarak di kota Manchester.
TERLALU GIRANG: Pemain Manchester City dari Norway, Erling Haaland, mengangkat trofi Liga Juara-Juara Eropah semasa berpesta dengan rakan sepasukan di bas yang membawa mereka berarak di kota Manchester. -

Ada yang bertenggek di atas tiang lampu isyarat untuk mendapatkan sudut rakaman strategik.

Peniaga musiman turut mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan menjual jersi dan cenderamata kelab.

REBUT PELUANG: Seorang penjual belon berbentuk trofi tiba awal di kawasan yang bakal dilalui perarakan pemain Manchester City bagi mendapatkan tempat terbaik untuk menjual belon-belonnya. Usahawan kecil seperti lelaki ini membanjiri sekeliling jalan raya Manchester semasa perarakan bas di Manchester City pada 12 Jun.
REBUT PELUANG: Seorang penjual belon berbentuk trofi tiba awal di kawasan yang bakal dilalui perarakan pemain Manchester City bagi mendapatkan tempat terbaik untuk menjual belon-belonnya. Usahawan kecil seperti lelaki ini membanjiri sekeliling jalan raya Manchester semasa perarakan bas di Manchester City pada 12 Jun. - Foto AFP

Perarakan berakhir dengan rombongan pemain, pengurus dan kru turun dari bas untuk menaiki pentas raksasa di pusat bandar untuk bertemu peminat.

Beberapa skrin raksasa turut dipasang di beberapa simpang jalan utama untuk menyiarkan acara secara langsung.

Sebagai menutup tirai perarakan, sebuah persembahan konsert turut diadakan untuk menghiburkan penonton.

Perarakan sebegitu tidak asing bagi City memandangkan rekod kejayaan cemerlang kelab itu sepanjang dekad lalu.

Bagaimanapun, kejayaan ‘Treble’ yang bersejarah membuat acara perarakan tahun ini lebih istimewa dan bermakna di lubuk hati peminat.

Mahkota Liga Juara-Juara adalah yang terbaru dalam senarai kejayaan panjang yang dinikmati City sejak Sheikh Mansour menjadi pemiliknya pada 2008.

Sepanjang tempoh itu, City memenangi tujuh kejuaraan Liga Perdana, tiga Piala FA, enam Piala Liga, tiga Perisai Komuniti FA, sebelum merangkul Piala Juara-Juara – hadiah paling utama dalam arena bola sepak Eropah.

PAMER KEKUATAN: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, bergurau semasa sesi bertemu penyokong sejurus selepas menyertai pasukannya berarak di keliling kota Manchester.
PAMER KEKUATAN: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, bergurau semasa sesi bertemu penyokong sejurus selepas menyertai pasukannya berarak di keliling kota Manchester. - Foto AFP

Beberapa pemerhati bola sepak berkecuali mungkin mempersoal kesahihan kejuaraan City kerana kemenangannya dibayangi kemelut tuduhan melanggar peraturan pertandingan.

Kesemuanya, 115 tuduhan melanggar peraturan kewangan dilempar ke atas kelab tersebut oleh Liga Perdana pada Februari lalu menyusuli siasatan selama empat tahun.

Beberapa hukuman, termasuk penyingkiran daripada Liga, boleh dikenakan ke atas City jika tuduhan itu dapat dibuktikan.

City, bagaimanapun, menafikan semua tuduhan dan yakin dapat membuktikan kebenaran. Ia juga mendesak agar keputusan dapat disegerakan supaya sebarang syak wasangka dapat dilenyapkan.

Namun, apa pula perasaan pemain dan peminat pasukan tersebut?

Ini sukar ditentukan kerana proses penghakiman belum diselesaikan dan hukuman belum ditentukan.

Namun, yang pasti, kemeriahan yang terpancar pada wajah pemain dan peminat dalam perarakan pada Selasa jelas membayangkan kepuasan dan kebanggaan mereka terhadap kejayaan yang dicapai.

Bagi mereka, kejuaraan itu satu petanda jelas tentang keunggulan City sebagai kelab yang wajar disegani dan dihormati.

Bagi peminat kelab lain, seperti kelab kesayangan saya Manchester United pula, kami hanya mampu berharap agar prestasi pasukan dapat dipertingkat pada musim akan datang dan dapat menebus kekecewaan yang dialami selama ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg