Atlet basikal bukit (MTB) Singapura, Riyadh Hakim Lukman terus mengharumkan nama negara di pentas besar apabila beliau memenangi pingat perak dalam Piala Dunia Eliminator MTB Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Palangkaraya, Indonesia, pada 19 Mei.
Kemenangan pingat perak itu adalah yang pertama diraih pelumba basikal Singapura, dengan Riyadh menulis semula sejarah yang beliau pernah catat sebelum ini.
Beliau merupakan warga Singapura pertama naik ke pentas UCI ketika mendapat tempat kelima di Piala Dunia Eliminator MTB UCI Barcelona pada 2021.
Ini sebelum beliau memperbaiki pencapaiannya dengan kedudukan keempat dalam Piala Dunia Eliminator MTB UCI Palangkaraya pada 2022.
Riyadh, 25 tahun, juara beberapa gelaran nasional, memberitahu Berita Harian (BH): “Apabila saya melayakkan diri ke final, saya benar-benar rasa lebih kuat berbanding ketika bersaing di Palangkaraya pada 2022. Saya benar-benar rasa yakin dan ingin berjuang habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan.”
Riyadh memulakan persaingan dalam edisi 2024 kejohanan Palangkaraya dengan mantap. Beliau mendapat tempat ketiga dalam kelayakan sebelum menjuarai pusingan suku akhir dan separuh akhirnya.
Dalam final utama yang disertai empat pelumba itu, beliau hampir merangkul tempat pertama ketika hanya melepasi garisan penamat 0:06.35 saat di belakang juara, Lochlan Brown dari New Zealand (1:35.71).
Pelumba basikal Austria, Theo Hauser pula membawa pulang pingat gangsa (+0.42.05), manakala Lorenzo Serres mendapat tempat keempat (+0:44.50).
Riyadh berkata kemenangan itu datang tanpa dijangka. Ini selepas paparannya yang mengecewakan dalam Kejohanan Benua Asia 2024 di Putrajaya, Malaysia, yang berlangsung dari 8 hingga 12 Mei.
Riyadh sekadar mampu meraih tempat kesembilan walaupun beliau ialah pemenang pingat gangsa kejohanan itu pada 2023.
“Sejujurnya, saya ingin menggunakan perlumbaan di Palangkaraya untuk menyegarkan semula minda dan mendapatkan diri saya kembali dalam ‘mode’ berlumba. Kejohanan Benua Asia adalah sasaran utama saya pada tahun ini. Tetapi, selepas prestasi saya yang kurang ideal di Kejohanan Benua Asia, saya benar-benar kecewa dan rasa sedih,” kongsi Riyadh.
“Jadi, saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan pada diri saya di Palangkaraya. Saya hanya ingin fokus pada setiap perlumbaan dan cuba berlumba sebaik yang mungkin,” tambah beliau, yang berlumba basikal secara sepenuh masa.
Riyadh telah menandatangani kontrak profesional selama tiga tahun bersama pasukan Asia Union TCS pada awal 2024.
Asia Union TCS ialah pasukan pertama dan satu-satunya berdaftar UCI di Asia dan beliau berlatih bersama beberapa atlet basikal terbaik serantau, termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA dua kali Indonesia, Sayu Bella dan juara nasional eliminator rentas desa (XCE) Jepun 2022, Yuta Matsumoto. Pasukan ini diketuai oleh pengurus Kohei Yamamoto, yang merupakan juara Kejohanan Asia sebanyak 10 kali dan Sukan Olimpik empat kali.
Kakitangan pasukan itu berpangkalan di Jepun, manakala pelumba mereka berlatih dengan pasukan kebangsaan masing-masing di negara asal mereka.
“Salah satu matlamat dalam kerjaya berbasikal saya adalah untuk sentiasa menunjukkan kepada dunia bahawa atlet Asia dapat beraksi cemerlang seperti yang mereka dari negara lain. Justeru, ia membanggakan untuk dapat memaparkan prestasi yang baik di pentas sebesar ini,” kata Riyadh, yang seterusnya akan bersaing di Jepun dan Malaysia, sebelum beraksi di Kejohanan Dunia pada Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg