Topic followed successfully
Go to BHkuRobertson akan tinggalkan Liverpool penghujung musim
Robertson akan tinggalkan Liverpool penghujung musim
Robertson akan tinggalkan Liverpool penghujung musim
LONDON: Andy Robertson akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini apabila kontraknya tamat pada musim panas, kata pihak kelab.
Robertson, 32 tahun, menyertai Liverpool daripada Hull City pada 2017 dengan bayaran 8 juta paun ($13.7 juta) dan telah memenangi dua gelaran Liga Perdana England (EPL), Liga Juara-Juara, Piala FA, dua Piala Liga, Piala Kelab Dunia dan Piala Super Uefa sepanjang tempohnya di Merseyside.
Dalam satu video yang mengumumkan keputusannya, kapten Scotland itu berkata: “Saya rasa inilah masanya untuk saya mengorak langkah baru.”
Pemain pertahanan itu menambah: “Sembilan tahun ini akan saya akan kenang dengan senyuman lebar.”
Robertson pernah menjadi sasaran Tottenham Hotspur semasa jendela pemindahan Januari lalu, dengan perjanjian awal yang sudah dicapai antara kedua-dua kelab.
Namun Liverpool memutuskan untuk tidak meneruskan pemindahan itu kerana kelab tidak dapat memanggil balik Kostas Tsimikas daripada pinjaman beliau di Roma.
Robertson mendapati peluang bermainnya agak terhad musim ini di bawah ketua jurulatih, Arne Slot selepas ketibaan bek kiri Hungary, Milos Kerkez, yang menyertai Liverpool daripada Bournemouth dengan kontrak jangka panjang bernilai 40 juta paun pada 2025.
Walaupun lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan musim ini, hanya memulakan enam perlawanan liga, Robertson berkata beliau berharap penyokong “berbangga dengan bek kiri yang mereka lihat beraksi setiap minggu”.
Beliau telah membuat 373 penampilan untuk Liverpool dan memenangi sembilan trofi semasa berkhidmat di Anfield.
“Kelab ini segalanya bagi saya, penyokong bermakna segalanya bagi saya, semua orang yang berkaitan dengan kelab ini sangat bermakna bagi saya,” kata Robertson.
“Saya berhutang budi kepada mereka hingga hari terakhir saya, saya akan berikan segalanya untuk kelab bola sepak ini, seperti yang telah saya lakukan sepanjang sembilan tahun ini dan saya amat berbangga dengannya.
“Masa untuk perpisahan yang penuh emosi dan untuk memberitahu penyokong mereka sangat bermakna bagi saya – itu akan tiba nanti, menjelang penghujung. Saya rasa saya belum bersedia untuk itu lagi.”
Liverpool berada di tangga kelima EPL dan akan menentang Fulham di Anfield pada 11 April.
Berita pemergian Robertson ini datang selepas penyerang Mesir, Mohamed Salah, 33 tahun, turut mengumumkan beliau akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini.
Kedua-duanya menyertai kelab dalam tempoh jendela pemindahan yang sama dan telah menjadi pemain penting semasa kebangkitan semula Liverpool dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi berita.

