Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rodri mahu rehat dek terlalu banyak perlawanan

Apr 11, 2024 | 12:10 PM
Jumlah perlawanan yang banyak membuat pemain seperti Rodri, pemain tengah Manchester City, mengambil inisiatif merehatkan diri bagi mengelak kecederaan.
Jumlah perlawanan yang banyak membuat pemain seperti Rodri, pemain tengah Manchester City, mengambil inisiatif merehatkan diri bagi mengelak kecederaan. - Foto AFP

MANCHESTER: Pemain tengah Manchester City, Rodri, berkata beliau merancang berehat pada hujung musim ini.

Pasukannya sedang mengejar ‘treble’ – tiga piala semusim – buat dua musim berturut-turut.

Pemain 27 tahun itu membuat penampilan ke-41 musim ini semasa perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 10 April.

Ia adalah perlawanan ketiga daripada lapan perlawanan dalam tiga kejuaraan yang City main dalam April.

“Saya memang perlu berehat,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

“Saya perlu menyesuaikan diri. Rehat adalah sesuatu yang saya sedang merancang,” tambah beliau.

Seri 3-3 yang mendebarkan di Santiago Bernabeu bermakna Rodri belum pernah mengalami kekalahan semasa terlibat dalam perlawanan City selama 429 hari dan 66 perlawanan.

Bekas pemain tengah Atletico Madrid itu telah bermain 3,497 minit musim ini – jumlah ke-23 terbanyak dalam kalangan pemain liga terbaik Eropah di England, Sepanyol, Jerman, Italy dan Perancis.

Namun, hanya tiga pemain yang memulakan perlawanan lebih banyak daripada Rodri dan dua daripada mereka adalah penjaga gawang.

Rodri terlepas empat perlawanan domestik kerana digantung musim ini dan City kalah dalam kesemua perlawanan itu.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu akan menentang Luton dalam perlawanan Liga Perdana pada 13 April, sebelum menentang Real Madrid bagi perlawanan kedua suku akhir Liga Juara Juara pada 18 April.

Mereka juga akan menentang Chelsea dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada 21 April, sebelum menentang Brighton dan Nottingham Forest dalam liga perdana sebelum akhir April.

Kesatuan pemain global, Fifpro, menyatakan banyak yang harus dilakukan bagi melindungi pemain daripada kesesakan jumlah perlawanan yang berbahaya.

Namun, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sedang meluaskan pertandingan Piala Dunia Kelab, sementara Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) sedang meningkatkan saiz Liga Juara-Juara Eropah mulai musim depan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg