Perlawanan kelab tercorot Liga Perdana Singapura (SPL), Tanjong Pagar United menentang Young Lions memaparkan cabaran hebat yang dihadapi pasukan itu.

Mereka bermula dengan kemenangan 5-1 selepas ketinggalan 0-1 pada September 2025, sebelum seri 1-1 pada 26 Januari namun tewas 0-1 kepada Young Lions pada perlawanan terbaru 10 April.

Dalam perlawanan yang gagal dimenangi itu, jurulatih Noh Alam Shah mengecam pasukannya dalam satu temu bual selepas perlawanan yang tular.

Selepas seri, jurulatih Noh Alam Shah berusia 45 tahun itu menggelar kedua-dua pasukan sebagai “sampah” dan mengecam kekurangan keinginan, disiplin serta kegagalan melaksanakan pelan permainan.

Selepas kekalahan pada 10 April, yang merupakan kekalahan kesembilan berturut-turut dengan hanya tiga gol dijaringkan bagi Tanjong Pagar, beliau berkata:

“Mereka perlu mencerminkan diri sendiri dan bertanya sama ada masih ingin terus beraksi dalam bola sepak.”

Beliau menggesa pemain supaya muhasabah diri tentang sumbangan mereka jika mahu kerjaya yang panjang, sambil menambah bahawa mereka perlu menilai semula masa depan mereka yang mungkin tinggal beberapa perlawanan sahaja.

Beliau menambah: “Mereka boleh menikmati baki perlawanan... tetapi perlu menilai sama ada kerjaya mereka hanya berbaki lima perlawanan.”

Usaha mereka untuk mengelak kedudukan paling bawah bagi dua musim SPL berturut-turut bermula dengan kunjungan ke Our Tampines Hub (OTH) menentang Geylang International pada 19 April, diikuti Albirex Niigata, Hougang United dan Balestier Khalsa sebelum menutup musim menentang pasukan Hougang.

Dengan hanya satu kemenangan dan satu seri musim ini, Noh Alam Shah mengakui pasukannya berada dalam keadaan terdesak, namun beliau tidak berputus asa dan bertanggungjawab atas prestasi buruk tersebut.

Beliau juga mengakui telah memandang remeh cabaran kursus Diploma Pro Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menyebabkan latihan bersama pasukan terjejas.

Perubahan pemain import memburukkan keadaan apabila pasukan Jaguars itu dilanda kecederaan dan pemergian pemain.

Pemain Australia, Jesse Daley, antara rekrut utama musim ini, mengalami kecederaan pangkal paha sejak pramusim, sekali gus tidak pernah diturunkan atau menjadi tonggak pasukan.

Pada Februari, kapten Aaron Evans pula patah buku lali dalam kekalahan 1-3 kepada Geylang.

Penyerang Sepanyol, Youssef Ezzejjari, menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan, termasuk empat menentang Young Lions, sebelum berpindah ke kelab India East Bengal dan kemudian menjaringkan tujuh gol dalam tujuh perlawanan di situ.

Pemain Brazil Bruno Dybal (tiga gol, dua bantuan gol dalam enam perlawanan liga) serta Guilherme Rodrigues (lima penampilan) turut meninggalkan pasukan selepas gagal menyesuaikan diri.

Noh Alam Shah berkata kehilangan pemain import utama bukan mudah. Pemain import muda yang sepatutnya diserap melalui SPL 2, serta pemain tempatan, terpaksa mengambil peranan lebih besar.

“Apabila keputusan tidak memihak, keadaan menjadi lebih sukar. Kekalahan sudah jadi kebiasaan, jadi saya perlu terus menekan mereka kerana ada yang mendatar.

“Namun seperti pemain, saya juga perlu menilai apa yang betul dan salah sambil menamatkan musim sebaik mungkin dan bangkit lebih kuat musim depan.”

Pemain Timor-Leste,Zenivio Mota, antara yang menyerlah di sayap, berkata mereka perlu bersatu sebagai satu pasukan untuk meraih mata dan mengelak menyamai rekod buruk Paya Lebar Punggol dengan empat mata pada 2005.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata musim ini sukar kerana mereka gagal memenangi perlawanan yang sepatutnya dimenangi.

Beliau menegaskan jurulatih tidak pernah berputus asa, dan pemain perlu mengikut arahan serta bekerja keras.

Katanya, prestasi dalam latihan jauh lebih baik berbanding perlawanan, dan semua 11 pemain perlu menunjukkan prestasi yang sama di atas padang.