LISBON: Cristiano Ronaldo menjadi pemain pertama di dunia menjaringkan 900 gol dalam kerjaya peringkat tertinggi, ketika Portugal memulakan kempen Liga Negara-Negara Uefa mereka dengan kemenangan ke atas Croatia.
Pemain berusia 39 tahun itu melakukan tendangan voli masuk dalam kotak penalti pada minit ke-34, untuk menggandakan gol Portugal daripada hantaran lintang, Nuno Mendes.
Ia merupakan gol rekod yang ke-131 untuk Portugal, 20 tahun selepas gol pertamanya, dan pemain veteran itu berlutut dalam sambutan yang penuh emosi.
Pemain pertahanan Manchester United, Diogo Dalot, meletakkan Portugal di depan pada minit ketujuh, namun beliau kemudian memasukkan bola ke gawang sendiri ketika Croatia bertindak balas sebelum rehat.
Selain Portugal, Ronaldo telah menjaringkan gol untuk Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid, Juventus dan, terkini, Al-Nassr di Arab Saudi.
Portugal berkongsi mata di tangga teratas Kumpulan 1 Liga A selepas perlawanan pembukaan dengan Poland, yang menewaskan Scotland pada 5 September.
Bagi yang dilahirkan ketika Ronaldo menjaringkan gol kompetitif pertama dalam kerjayanya, mereka kini berusia 21 tahun.
Beliau menjaringkan dua gol untuk Sporting pada 7 Oktober 2002, pada usia 17 tahun lapan bulan dan tiga hari, dalam kemenangan 3-0 ke atas Moreirense.
Pemain itu kemudian berpindah ke Manchester United, menjaringkan 118 gol dalam 293 perlawanan untuk Red Devils sebelum menyertai Real Madrid pada 2009 pada harga rekod dunia 94 juta euro ($135.6 juta).
Dalam sembilan tahun di kelab gergasi Sepanyol itu, beliau menjaringkan 450 gol dalam hanya 438 perlawanan sebelum berpindah ke Italy untuk menyertai Juventus.
Beliau menambah 101 gol lagi dalam rekodnya selama tiga tahun bersama kelab Italy itu, sebelum kembali ke United dan menjaringkan 27 gol dalam 54 perlawanan.
Kepulangannya ke Red Devils tidak berakhir dengan baik dan pada 2023 beliau berpindah ke Arab Saudi untuk menyertai Al-Nassr.
Beliau sudah menjaringkan 68 gol buat Al-Nassr dan dijangka terus menambah jumlah itu.
Tiada pangkalan data untuk menetapkan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak lelaki, tetapi Ronaldo sudah mendahului senarai jumlah gol dalam perlawanan rasmi pada peringkat tinggi, setelah mencapai 800 gol semasa tempoh keduanya di Manchester United.
Legenda Brazil, Pele dan Romario, dikatakan menjaringkan lebih 1,000 gol setiap seorang, namun jika perlawanan persahabatan tidak diambil kira, jumlah itu berada pada angka 700-an.
Perangkaan tidak rasmi mengatakan Pele menjaringkan 778 gol, manakala Romario 785 gol. Lionel Messi, saingan lama Ronaldo, menjaringkan 867 gol dalam kerjayanya setakat ini.
Masa tidak menyebelahi Ronaldo memandang beliau kini berusia 39 tahun, tetapi pemain veteran itu berazam akan terus bermain hingga beliau mencapai angka gol luar biasa – 1,000.
Bercakap kepada bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Rio Ferdinand, dalam temu bual di saluran YouTube-nya, Ronaldo berkata beliau yakin boleh mencapai kejayaan itu dalam masa beberapa tahun akan datang.
“Saya mahu mencapai matlamat 1,000,” katanya.
“Jika saya tidak mengalami sebarang kecederaan, ini bagi saya adalah perkara paling penting yang saya mahu. Semua gol yang saya telah jaringkan, ada videonya,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg