Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russell kongsi impian juarai F1 dunia

Oct 2, 2025 | 2:34 PM
Formula Satu, Mercedes, George Russell
Pemandu Mercedes George Russell (tengah) dan Young Jin Yee, ketua bersama pengurusan kekayaan global UBS Asia Pasifik yang juga ketua UBS Singapura, menganjurkan perbincangan meja bulat untuk pemandu muda Formula Satu Singapura. - Foto UBS

Dalam sukan yang mementingkan metrik, tidak hairanlah pelumba Formula Satu (F1) George Russell telah mengira jumlah perlumbaannya.

“Saya akan menghadapi perlumbaan ke-150 saya dalam F1,” kata pemandu Mercedes itu kepada The Straits Times dalam satu temu bual pada 1 Oktober di pejabat kumpulan perkhidmatan kewangan Switzerland UBS di Penang Road, menjelang Grand Prix F1 Singapore Airlines pada hujung minggu.

Meskipun Russel tidak bertanding untuk menjadi juara dunia ketika beliau menghampiri pencapaian itu - berada di tempat keempat dan 112 mata di belakang pendahulu Oscar Piastri daripada McLaren dengan baki tujuh perlumbaan – warga Britain itu bersedia menunggu masanya untuk mengejar matlamat utama.

Untuk menggambarkan kesabarannya, pemandu berusia 27 tahun itu mengimbas anekdot daripada buku terbaru yang dibacanya.

“Saya suka melihat di sini, sekarang dan masa depan. Saya tahu bahawa jika saya melakukan segala-galanya dengan betul hari ini, dan segala-galanya dengan betul esok, dan segala-galanya selepas itu, matlamat jangka panjang saya akan tercapai,” kata Russell.

“Saya masih ingat membaca sebuah buku mengenai seorang kanak-kanak kecil sedang membina tembok bersama bapanya tetapi dia berasa sangat sukar untuk membina tembok besar itu.

“Dan bapanya berkata kepada anak lelakinya: “Jangan fikir tentang tembok itu, fikirkan untuk meletakkan satu bata saja. Meletakkan satu bata itu mudah, dan kemudian sebelum anda tahu, tembok itu sudah dibina”.

“Dan ia sama dalam hidup kita. Anda tidak memikirkan matlamat akhir. Anda hanya berfikir tentang meletakkan satu bata itu hari ini di atas satu bata pada hari berikutnya, dan seterusnya dan seterusnya. Sebelum anda tahu, pencapaian besar itu, apa yang anda kejar akan tercapai.”

Sejak musim bersama Williams pada 2019, beliau telah disebut-sebut sebagai pemain besar dalam F1 tetapi pencapaian tertinggi yang pernah beliau raih ialah di tangga keempat pada 2022.

Russel berkata: “Saya berasa sudah siap berjuang untuk kejuaraan dunia. Saya sudah bersedia untuk masa yang lama. Tetapi hanya ada satu pemandu dan satu pasukan.

“Dan sangat jarang anda melihat dua pemandu dari dua pasukan berbeza berjuang untuk kejuaraan... tetapi anda tidak boleh putus harapan.

“Dan saya berumur 27 tahun. Saya bertarung setiap hari kerana saya tidak tahu bila peluang saya akan datang. Mungkin ia bermula dari hujung minggu ini di Singapura... mungkin ia 2026, mungkin 2028. Tetapi saya tidak syak masa saya akan tiba.”

Dengan pasukan McLaren dalam prestasi terbaik - mereka mendahului kejuaraan pasukan dengan 623 mata dan boleh melakar kejuaraan pada 5 Oktober – keprihatinan utama Russell dan rakan sepasukan Mercedesnya, Kimi Antonelli musim ini adalah untuk mengukuhkan tempat kedua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg