Topik diikuti
Pergi ke BHkuRybakina bakal berentap dengan Sabalenka dalam final Terbuka AS
Rybakina bakal berentap dengan Sabalenka dalam final Terbuka AS
NEW YORK: Bakal pemain nombor satu dunia, Elena Rybakina, mempamerkan kebangkitan hebat menewaskan pemain Amerika Syarikat, Coco Gauff, untuk melangkah ke final Terbuka AS.
Aksi final tersebut bakal menyaksikan pertarungan pemain tenis Kazakhstan tersebut dengan Aryna Sabalenka, dalam perlawanan yang menarik perhatian antara dua pemain pilihan teratas kejohanan.
Rybakina dijamin merampas kedudukan nombor satu dunia Sabalenka, sekali gus mengakhiri kekuasaan 99 minggu pemain Belarus itu apabila kedudukan senarai dunia yang dikemas kini dikeluarkan pada 14 September.
Namun, pemain pilihan kedua dari Kazakhstan itu boleh terus menambah kekecewaan Sabalenka sekiranya berjaya menghalang pemain pilihan utama tersebut daripada meraih gelaran Terbuka AS ketiga berturut-turut dalam aksi kemuncak pada 12 September.
Sabalenka terlebih dahulu memberi amaran kepada pencabarnya selepas menewaskan pemain harapan tuan rumah, Jessica Pegula, 7-5, 6-2 untuk mengekalkan peluang menjadi pemain wanita ketiga dalam era Terbuka menjuarai gelaran perseorangan di New York itu tiga kali berturut-turut.
Sementara itu, Rybakina bakal menjadi penghalang bagi sasaran Sabalenka selepas bangkit menewaskan pemain pilihan keempat dari Amerika, Gauff, 3-6, 6-4, 6-4 sekali gus membungkam sorakan penyokong tuan rumah.
“Saya menarik nafas dalam-dalam dan memberitahu diri saya bahawa saya perlu berjuang serta mempamerkan permainan tenis yang baik,” kata Rybakina.
Pemain berusia 27 tahun itu sedang memburu gelaran Grand Slam ketiganya selepas menjuarai Wimbledon pada 2022 dan menewaskan Sabalenka dalam aksi final Terbuka Australia pada Januari.
Ia bakal menjadi kali pertama dua pemain pilihan teratas wanita berentap di final Terbuka AS sejak Serena Williams menewaskan Victoria Azarenka pada perlawanan kemuncak 2013.
Sabalenka belum pernah tewas di New York sejak kalah pada final 2023 kepada Gauff, namun timbul keraguan terhadap hasrat mempertahankan gelarannya susulan prestasi hambar menjelang kejohanan berkenaan.
Kemenangan ke atas Pegula itu bermakna Sabalenka memecahkan rekod era Terbuka bagi penampilan final Grand Slam gelanggang keras berturut-turut paling banyak, dengan pemain berusia 28 tahun itu mara ke setiap final kejohanan utama di atas jenis gelanggang kegemarannya sejak Terbuka Australia 2023.
Bagi Pegula yang berusia 32 tahun – satu-satunya pemain separuh akhir yang belum pernah memenangi gelaran Grand Slam – ini merupakan satu lagi kekalahan di Terbuka AS di tangan seteru lamanya, Sabalenka. – Agensi berita.
