Topik diikuti
Pergi ke BHkuRybakina tersingkir awal dalam kejutan terbesar Terbuka Perancis
Rybakina tersingkir awal dalam kejutan terbesar Terbuka Perancis
Rybakina tersingkir awal dalam kejutan terbesar Terbuka Perancis
PARIS: Pemain nombor dua dunia, Elena Rybakina, mengejutkan peminat tenis selepas mengalami kekalahan mengejut pada pusingan kedua di tangan pemain ranking ke-55 dunia, Yuliia Starodubtseva, sekali gus menjadi kejutan terbesar dalam kejohanan Terbuka Perancis setakat ini.
Meskipun memenangi set pembukaan, Rybakina kelihatan bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya sebelum pemain Ukraine, Starodubtseva, bangkit untuk mencatatkan kemenangan 3-6, 6-1, 7-6 (10-4).
Rybakina, yang merupakan juara bertahan Terbuka Australia dan terkenal dengan pukulan servis kencang serta tepat, melakukan 71 kesilapan mudah dan hanya mencatatkan 53 peratus hantaran servis pertama yang tepat.
Ini adalah kali pertama pemain Kazakhstan itu gagal melangkah ke pusingan ketiga dalam saingan utama di Paris berkenaan sejak 2020, selain menjadi penyingkiran terawalnya dalam kejohanan Grand Slam sejak Terbuka Australia 2024.
Kekalahan awal Rybakina ini turut menyaksikan Aryna Sabalenka bakal mengekalkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia, tanpa mengira keputusan akhir yang dicatatkannya di Terbuka Perancis, yang juga dikenali sebagai Roland Garros.
“Ia amat menyedihkan kerana saya rasa saya telah menjalani latihan dengan baik sebelum Terbuka Perancis ini.
“Hari ini persembahan saya sangat buruk dan saya melakukan terlalu banyak kesilapan mudah,” kata Rybakina.
Rybakina, yang merupakan pemenang gelaran Grand Slam sebanyak dua kali, membuat permulaan hebat di Gelanggang Suzanne Lenglen di Paris apabila mendahului 5-1 sebelum rentak permainannya mula goyah.
Walaupun Rybakina berjaya memenangi set pembukaan itu, Starodubtseva bangkit menguasai sembilan daripada 10 permainan berikutnya untuk menyamakan kedudukan, sekali gus mendahului 3-0 dalam set penentuan.
Rybakina kelihatan kurang meyakinkan sepanjang baki perlawanan meskipun cuba bangkit daripada ketinggalan dua kali pukulan servis (double break) untuk mengheret saingan ke permainan penentuan (tie-break).
Kesilapan berganda yang dilakukannya pada mata pembukaan seolah-olah memberi bayangan awal kepada nasib malangnya.
Sementara itu, Starodubtseva terus mempamerkan aksi agresif untuk menguasai perlawanan, sekali gus melakar kemenangan terbesar dalam kerjayanya.
Memandangkan suhu mencecah pertengahan 30 darjah Celsius pada 27 Mei, Rybakina ditanya sama ada faktor cuaca panas turut mempengaruhi persembahannya yang hambar itu.
“Saya tidaklah mahu mengatakan bahawa saya bergelut dari segi fizikal,” katanya.
“Ada perlawanan lain yang membuat saya berasa lebih teruk, tetapi hari ini saya memang kekurangan tenaga.
“Suhu yang terlalu panas sememangnya membuatkan bola melayang laju. Ia amat sukar dikawal.
“Ini lebih-lebih lagi dengan gaya permainan saya yang sentiasa agresif, cuba bermain pantas dan mara ke depan. Jadi, jika pukulan tidak menghasilkan putaran mencukupi atau jika tangan tidak cukup tangkas, bola akan melayang secara tidak menentu.”
Ia merupakan kejutan kedua berturut-turut yang dilakar oleh pemain Ukraine itu di Terbuka Perancis dalam tempoh dua tahun, selepas beliau menewaskan naib juara 2024 yang juga pilihan keempat kejohanan, Jasmine Paolini, pada pusingan kedua 2025.
“Saya sangat gembira,” kata Starodubtseva.
“Elena adalah salah seorang pemain terbaik, dan beliau mengharungi musim yang luar biasa dan saya amat bangga dengan diri saya kerana mampu melakukannya,” kata Starodubtseva.
Starodubtseva dijadualkan bertemu pemain China, Wang Xiyu, pada pusingan ketiga. – Agensi berita.
