Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

'Minah takraw kolong blok' sahut panggilan skuad nasional

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

SEPAK TAKRAW

'Minah takraw kolong blok' sahut panggilan skuad nasional

Mereka mengenali sepak takraw di kolong blok masing-masing dengan melihat rakan-rakan lelaki mereka bermain. Walaupun sepak takraw bukan sukan yang biasa disertai gadis setempat, Nur Ezzaty Putri Rohaizat, Nurul Ilyana Mohd Sokih and Sharifah Maswan memberanikan diri memasuki gelanggang untuk belajar menimbang bola meski diusik rakan-rakan lain. November lalu, apabila Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) meuar-uarkan rancangan mengadakan sesi pemilihan untuk membentuk pasukan nasional, mereka tampil bersama 32 gadis lain menjalani ujian. BERITA HARIAN menyingkap perjalanan mereka mencatat sejarah sepak takraw setempat membentuk skuad sembilan pemain wanita pertama negara.
Mar 01, 2021 | 05:30 AM

TANPA pernah menyentuh bola takraw, Nur Ezzaty Putri Rohaizat memberanikan diri 'mengecek' rakan-rakan lelaki di estet perumahan tempat tinggalnya di Telok Blangah supaya diberi kesempatan menimang bola.

Meski pada mulanya diusik dan digiat, pelajar menengah tiga Sekolah Menengah Queenstown itu menebalkan muka untuk terus bermain bersama.

"Ketika itu, saya berusia 11 tahun dan saya mula sedar saya meminati sepak takraw setelah menyaksikan jiran-jiran saya bermain di kolong blok dan gelanggang dekat flat kami.

"Walaupun sewaktu di sekolah rendah dulu saya pernah bermain hoki, saya mahu membuktikan kepada rakan-rakan saya bahawa budak perempuan pun boleh bermain takraw," jelas Nur Ezzaty, 15 tahun, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik membuka cerita.

Langkah mula Nur Ezzaty serupa Nurul Ilyana Mohd Sokih, yang mendapat kesempatan bermain bersama jiran-jiran sebayanya di gelanggang dekat estet perumahan mereka di Marsiling.

"Mula-mula saya tengok-tengok sahaja dulu. Peluang saya masuk ke gelanggang sebenarnya terbuka sekitar tiga tahun lalu apabila ada regu yang mahu memulakan permainan tak cukup orang, jadi kawan-kawan saya mengajak saya mengisi kekosongan itu.

"Mula-mula mereka ejek jugalah tetapi lama-kelamaan apabila mereka melihat saya boleh membuat servis dengan baik, mereka membenarkan saya terus bermain.

"Malah, apabila mereka mula tak boleh angkat servis saya, mereka jugalah yang menyuruh saya mencuba nasib tampil menyertai skuad negara apabila Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) mengadakan sesi ujian pemilihan pada November lalu," kata Nurul Ilyana, 18 tahun, pelajar ITE Kolej Central Tahun Dua dalam bidang Latihan Kecergasan, menceritakan langkah beliau berjinak-jinak dalam sepak takraw.

Kini, kededua Nur Ezzaty dan Nurul Ilyana berjaya melengkapkan perjalanan mereka dalam sepak takraw setempat apabila terpilih membentuk antara sembilan pemain pasukan nasional wanita pertama.

"Siapa yang tidak berasa bangga dapat sertai pasukan nasional? Apatah lagi ini kali pertama Perses membentuk pasukan wanita negara.

"Matlamat saya adalah terus memperbaiki permainan saya, membantu negara mencapai yang terbaik dan secara peribadi, menjadi antara pemain terbaik negara," kata Sharifah Maswan, 19 tahun, pegawai logistik SingPost.

Beliau, yang merupakan salah seorang daripada tiga anggota pasukan wanita kelab AirLandSea (ALS) Sports yang terpilih menyertai pasukan nasional, mula meminati sepak takraw sejak berusia enam tahun ketika menyaksikan ayahnya bermain sukan itu.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh membantu pasukan mengecap kejayaan," tambah Sharifah sambil berkata penyertaannya dalam skuad negara adalah atas dorongan jurulatih ALS Sports yang menggalakkan pemainnya mengikuti sesi pemilihan Perses.

Namun, ketiga-tiga Sharifah, Nur Ezzaty dan Nurul Ilyana sedar perjalanan mereka masih jauh dan banyak pengalaman, pendedahan dan cabaran yang perlu mereka tempuh.

"Saya pernah juga tonton permainan pasukan wanita dalam pertandingan di Youtube. Mereka bermain begitu baik sekali. Memang mencabar untuk menyaingi mereka. Tetapi mereka sudah lama membentuk pasukan negara masing-masing dan sudah lama berlatih.

"Saya bertekad berlatih bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai sasaran yang ditetapkan Perses iaitu melayakkan diri ke Sukan SEA.

"Saya yakin menerusi latihan dan bimbingan jurulatih negara dan dengan kerja keras, kami juga dapat memperbaiki permainan kami.

"Memang menjadi impian saya merasai kepuasan menggenggam pingat dalam Sukan SEA," kata Nurul Ilyana, yang berusaha memperbaiki teknik membuat servis kuda.

Beliau memilih menjadi tekong, sebagaimana permulaannya memasuki gelanggang pada 2018, untuk membantu pasukan negara mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Dengan membuat servis yang baik dan tajam, saya dapat membantu negara memungut mata dan memenangi pertandingan.

"Memang agak sukar menyempurnakan servis kuda ini, tekniknya perlu betul. Mula-mula agak sakit juga tetapi saya berazam memperbaikinya," kata Nurul Ilyana, yang pernah menjadi kapten pasukan hoki Sekolah Menengah Marsiling dan membantu sekolahnya menduduki empat tangga teratas dalam pertandingan antara sekolah-sekolah.

Mengulas peranannya sebagai striker, Nur Ezzaty menjelaskan bahawa beliau sedar tugas itu sukar tetapi menyifatkan ia sesuai dengan ketinggiannya - 1.68m - dan perwatakannya yang sukakan cabaran.

"Saya memang gemar bersukan dan suka mencuba semua sukan. Saya sedar tugas killer susah sebab kami perlu membuat lompatan yang tinggi dan tahu teknik pukulan yang betul.

"Bukan itu sahaja, cara menjatuhkan diri pun kena betul sebab kalau salah landing, kami boleh tercedera.

"Tetapi saya akan berusaha berlatih dengan tekun. Lompatan dan libasan dapat dilakukan dan diperbaiki menerusi bimbingan dan latihan," tambah Nur Ezzaty, yang sedang memperbaiki kemahiran membuat pukulan libas, selang baring, pari dan gunting.

Dari mana beliau belajar kesemua gaya pukulan ini?

"Daripada Youtube dan kawan-kawan. Mula-mula memang sakit membuat pukulan seperti ini tetapi makin lama makin biasa kerana saya selalu bermain takraw," ujarnya lagi.

Bagi Nur Ezzaty, beliau sanggup melalui semua itu kerana mahu membuktikan wanita juga boleh bermain sepak takraw dengan baik, sebaik pemain lelaki, menerusi latihan dan kerja keras.

"Dengan restu ibu bapa saya yang menyokong pelibatan saya dalam sepak takraw, terutama dalam pasukan negara dengan bimbingan Perses, saya juga ingin berjuang mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat dan buktikan bahawa kaum wanita Singapura juga boleh bermain takraw dengan baik.

"Saya akan berpegang pada pesan ibu saya bahawa beliau akan memberi sokongan jika saya yakin dan bersungguh-sungguh dengan pelibatan saya dalam sukan ini.

"Cuma katanya apabila sedang bermain, jangan sampai tak ingat dunia," kata Nur Ezzaty.


SKUAD TAKRAW WANITA NASIONAL

Bila dibentuk: Disember 2020

Komposisi: 9 pemain

Sasaran: Layakkan diri ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Bila mula latihan: Disember 2020

Pertandingan persiapan:

- Piala Raja Thai, Bangkok, September 2021

- Sukan Tertutup & Seni Mempertahankan Diri Asia, Mac 2022

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3