Lion City Sailors mempunyai ramai pemain berpengalaman pada peringkat antarabangsa dan Eropah yang bernilai berjuta dolar dari segi gaji dan bayaran pemindahan.
Namun, penyerang Singapura Shawal Anuar yang menyerlah.
Pemain berusia 33 tahun itu membuktikan beliau yang paling berbaloi didapatkan dalam pasukan yang mempunyai bintang seperti bekas pemain Croatia Toni Datkovic, bekas pemain Belanda Bart Ramselaar, pemain antarabangsa Australia Bailey Wright, bekas pemain sayap PSV Eindhoven Maxime Lestienne, dan pemain Jerman Lennart Thy, yang datang musim ini dengan 13 gol di liga utama Belanda, Eredivisie.
Shawal, yang menyertai Sailors pada Disember 2022 secara percuma daripada Hougang United, mempunyai 30 gol dan 19 assist dalam 56 perlawanan bagi pasukan itu.
Beliau penjaring gol dan penghasil assist tempatan terbanyak dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini, dengan 11 gol dan 10 assist dalam 17 perlawanan.
Shawal juga dalam form yang baik pada peringkat Asia, sedang Sailors nampaknya akan mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Dua Gabungan Bola Sepak Asia (ACL 2).
Beliau menghasilkan persembahan ‘Pemain Terbaik Perlawanan’ dengan menjaringkan dua gol dan melakukan satu assist dalam kemenangan 3-1 Sailors ke atas Port FC pada 30 Oktober.
Kemenangan itu meletak Sailors di tempat teratas Kumpulan E, dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.
Shawal berkata: “Saya memang selalu ingin bermain dan melakukan yang terbaik dalam pertandingan seperti ACL 2. Saya sungguh gembira dapat bermain dari mula dan menjaringkan gol.
“Perjalanan untuk bermain di liga profesional tidak mudah, jadi detik-detik seperti ini sangat bermakna bagi saya.”
Penyerang itu, yang bermain secara separuh profesional dalam Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) 11 tahun lalu, berkata prestasinya adalah hasil prinsip yang dipegangnya bahawa “setiap musim harus lebih bagus daripada musim sebelumnya”.
Musim lepas, Shawal menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan.
Sekarang beliau hanya memerlukan dua gol untuk mencapai jumlah tersebut, dan masih ada 15 perlawanan SPL dan Piala Singapura yang akan tiba.
Perjalanan bola sepaknya amat mengagumkan memandangkan beliau berdepan dengan cabaran pemulihan selepas pembedahan untuk membaiki ligamen krusiat anterior (ACL) yang koyak di lutut kanannya pada 2018.
Menghargai sokongan kelab dan motivasi daripada keluarganya – isteri dan tiga anak lelaki berusia 14 tahun, dua tahun dan enam bulan – Shawal berkata: “Selepas setiap latihan dan perlawanan, lutut saya berasa sangat sakit dan saya perlu meletak ais. Ia tidak mudah sama sekali.
“Ia adalah mengenai cara saya menguruskan beban kerja saya dan saya berterima kasih kepada kelab dan jurulatih kerana memahaminya.
“Bagi saya, setiap kali saya memasuki padang, saya memberikan yang terbaik. Setiap peluang yang saya dapat, saya mahu membuktikan bahawa saya layak berada di sini.”
Jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic, memuji penyerangnya itu dengan berkata: “Beliau salah seorang MVP (pemain paling berharga) saya sejak saya datang ke sini. Beliau menunjukkan mutunya hampir setiap minggu apabila bermain.”
“Satu-satunya masalah... ialah beliau menghadapi beberapa masalah dengan tubuhnya, jadi kami perlu berhati-hati dengannya,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg