Lion City Sailors dan BG Pathum United terpaksa berkongsi mata selepas mereka seri 1-1 dalam perlawanan sengit pembuka tirai Kumpulan F Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Jalan Besar pada 17 September.

Kedua-dua pasukan itu tampil seimbang pada awal permainan, dengan Sailors dan BG Pathum sama-sama jelas berazam untuk memulakan kempen ACL2 mereka dengan kemenangan.

Sailors mencipta beberapa peluang menerusi hantaran silang dan sepakan sudut yang mengancam pertahanan BG Pathum dari awal perlawanan, dengan tekanan yang diberikan pasukan itu akhirnya membuahkan hasil.

Susulan kekasaran Edwin Osmanovic ke atas Farhan Zulkifli yang membawa padah buat dirinya sehingga dilayangkan kad kuning, Sailors tidak mensia-siakan peluang menerusi sepakan percuma yang dihadiahkan.

Sepakan percuma Giovanni Haag menghasilkan hantaran silang berbahaya ke dalam kotak penalti, sebelum bola terkena Marko Nikolic dan menerjah gawang sendiri pada minit ke-24 untuk Sailors mendahului perlawanan 1-0.

Separuh masa berakhir 1-0 memihak Sailors.

Namun, BG Pathum tidak mengambil masa lama pada separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan.

Gol penyamaan yang hadir pada minit ke-51 itu terhasil menerusi kombinasi mantap antara Raniel Santana, Chanathip Songkrasin dengan Patrik Gustavsson.

Santana mencari Chanathip di luar kotak penalti, sebelum Chanathip melepaskan hantaran kemas kepada Patrik yang menyempurnakan peluang dengan rembatan padu ke dalam gawang.

Dengan jaringan gol tersebut, BG Pathum mula menguasai perlawanan dan terus mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk percubaan Chanathip yang terkena tiang gol.

Meskipun kededua pasukan mengasak benteng lawan, kededua barisan pertahanan kekal berdisiplin dan perlawanan berakhir 1-1.

Sailors bakal kembali beraksi selepas tempoh rehat antarabangsa Fifa, dengan perlawanan menentang Young Lions di Liga Perdana Singapura pada 11 Oktober.