Kemenangan bersejarah yang didambakan Lion City Sailors tinggal kenangan sahaja selepas mereka tewas 2-1 kepada Sharjah FC dalam final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Bishan pada 18 Mei.
Hanya dalam masa lima minit permainan, Sharjah telah menguji pintu gol Sailors menerusi tendangan percuma Marcus Meloni, namun mujur diterima oleh penjaga gawang, Izwan Mahbud dalam dakapannya dengan mudah.
Pasukan bimbingan Cosmin Olaroiu menyangka mereka telah membuka tirai perlawanan pada minit ke-10, tetapi jaringan pemain sayap berbisa mereka, Caio Lucas Fernandez dibatalkan akibat ofsaid.
Namun, Sailors tidak duduk diam sahaja, dan hampir menjaringkan gol pertama perlawanan yang hadir pada minit ke-34 apabila rembatan kencang Diogo Costa hanya mampu terkena palang gawang Sharjah.
Separuh masa berakhir dengan Sailors 0 - 0 Sharjah.
Sharjah tanpa berlengah melancarkan serangan bertubi-tubi dalam usaha untuk memberi tekanan kepada lawan, namun tidak berjaya membolosi barisan pertahanan kukuh Sailors.
Akhirnya Sharjah berjaya menyumbat gol pertama di minit ke-71 menerusi penyerang Firas Ben Al Arbi sebelum jaringan beliau dibatalkan akibat ofsaid.
Namun, percubaan Ben Al Arbi buat kali kedua membuahkan hasil apabila beliau menyempurnakan hantaran daripada bek kanan, Khaled Ebraheim, untuk mendapatkan gol pertama perlawanan.
Izwan Mahbud memastikan Sailors masih mempunyai peluang apabila beliau bertindak cemerlang untuk menafikan Sharjah daripada mendapat gol kedua hanya beberapa minit kemudian.
Detik ini terbukti penting apabila Sailors menemui gol penyamaan lewat pada masa tambahan apabila Maxime Lestienne menyumbat masuk hantaran Costa dalam kotak penalti.
Namun, kegembiraan penyokong Sailors hanya sementara sahaja apabila Marcus Meloni menjaringkan gol kedua Sharjah untuk meletakkan pasukannya di hadapan sekali lagi hanya enam minit kemudian.
Dan jaringan tersebut terbukti cukup untuk memastikan Sharjah FC menjulang trofi ACL2 itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg