Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sailors dapat kelulusan awal jadi hos final

Keputusan perlawanan tentang Sharjah FC dari UAE pada 18 Mei tertakluk pada pemeriksaan akhir dan kelulusan rasmi AFC
Apr 23, 2025 | 6:32 PM
Pemain Lion City Sailors meraikan kemenangan ke atas Balestier Khalsa dalam satu perlawanan Liga Perdana Singapura pada 23 Februari.
Pemain Lion City Sailors meraikan kemenangan ke atas Balestier Khalsa dalam satu perlawanan Liga Perdana Singapura pada 23 Februari. - Foto LION CITY SAILORS

Pasukan Lion City Sailors mendapat kelulusan awal untuk menjadi tuan rumah bagi peringkat akhir Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Sharjah FC dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 18 Mei (8 malam) di Stadium Bishan.

Namun, ia tertakluk kepada pemeriksaan akhir dan kelulusan rasmi oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada awal Mei.

Dalam satu kenyataan media pada 23 April, Sailors mengumumkan keputusan tersebut, sambil menambah:

“Dalam beberapa minggu akan datang, kelab ini akan bekerja rapat dengan Sport Singapore (SportSG), Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), dan pakar-pakar industri sukan untuk membuat peningkatan dan persiapan yang diperlukan agar tempat berkenaan bersedia sepenuhnya untuk malam bersejarah itu pada 18 Mei.”

Maklumat mengenai penjualan tiket akan diumumkan tidak lama lagi, lapor The Straits Times.

Perkembangan tersebut berlaku selepas ketidakpastian selama beberapa hari mengenai tempat perlawanan akhir ACL2 itu, yang bakal menyaksikan pertembungan antara pasukan terbaik dari Asia Timur dan Barat, dengan tempat perlawanan diadakan di kededua rantau itu secara bergilir-gilir setiap tahun.

Bagi edisi 2024-25, pasukan tuan rumah adalah dari Asia Timur.

Ini bermakna Sailors, yang menewaskan pasukan Liga A, Sydney FC, 2-1 secara agregat dalam perlawanan separuh akhir dua pusingan, diberi hak menjadi tuan rumah.

Sebelum ini, Sailors dijadualkan menjadi tuan rumah kepada Sharjah di Stadium Jalan Besar, di mana pasukan Singapura itu telah bermain enam perlawanan ACL2 di tempat sendiri pada musim ini — menang empat kali, seri sekali dan kalah sekali.

Bagaimanapun, kelab UAE itu telah meminta agar peringkat akhir tidak diadakan di Stadium Jalan Besar, dengan alasan stadium tersebut mempunyai padang rumput tiruan dan hanya mampu menampung 6,000 penonton.

Pegawai AFC, yang bertemu wakil-wakil SportSG dan FAS minggu lalu untuk membincangkan pilihan tempat bagi perlawanan akhir tersebut, turut menjalankan pemeriksaan di Stadium Bishan, yang mempunyai padang rumput semula jadi dan boleh memuatkan sekitar 6,000 penonton juga.

Stadium itu juga merupakan gelanggang sendiri bagi kedua-dua pasukan Sailors dan Balestier Khalsa dalam perlawanan Liga Perdana Singapura.

Setakat musim ini, Sailors telah memenangi 14 daripada 17 perlawanan domestik, termasuk perlawanan Piala Singapura, yang berlangsung di Stadium Bishan, dengan seri dua kali dan tewas hanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg