LONDON: Kaka dari Brazil baru sahaja dinobatkan anugerah Pemain Terbaik Fifa 2007 tetapi ia adalah saat yang janggal di atas pentas semasa acara penyampaian itu berlangsung.

Di sebelahnya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang ketika itu masih muda, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai pemain terbaik Fifa itu.

Tetapi legenda Brazil, mendiang Pele tersilap menyerahkan trofi untuk tempat kedua kepada Ronaldo dalam acara yang berlangsung di Rumah Opera Zurich pada ketika itu.

Presiden Fifa ketika itu, Sepp Blatter, terpaksa campur tangan untuk meminta kedua-dua mereka menukar trofi, dengan kedua-duanya kelihatan bersahaja.

Namun situasi tersebut kemudian menjadi tular sejak itu.

Sepanjang 10 tahun kemudian, Messi atau Ronaldo telah memenangi setiap anugerah Ballon d’Or dan Fifa. Malah sejak 2007, 20 daripada 29 trofi yang dianugerahkan untuk pemain terbaik Eropah telah menjadi milik salah seorang daripada dua bintang ikonik ini.

Secara bersama kededua Messi dan Ronaldo telah hampir menjaringkan 2,000 gol sepanjang kerjaya mereka, menjulang 85 trofi bagi kelab dan negara serta anugerah dan rekod individu yang tidak terkira banyaknya.

Sudah pasti Messi dan Ronaldo akan dikenang selama-lamanya sebagai antara dua pemain bola sepak terhebat dalam sejarah sukan ini.

Ia adalah persaingan yang telah mentakrifkan dua dekad terakhir bola sepak, melampaui kelab, negara dan pertandingan dalam membentuk semula cara bola sepak – cara ia dimainkan dan dibahaskan di seluruh dunia.

“Dua pemain seperti mereka, bersaing di peringkat itu selama bertahun-tahun, bertarung merebut Ballon d’Or dan menjaringkan gol sebanyak itu... saya tidak fikir kita akan melihatnya lagi,” kata pemenang Piala Dunia pasukan Argentina, Angel di Maria, yang sudah bermain di samping kedua-dua pemain handalan itu, dalam dokumentari baharu BBC Sport bertajuk Rivals: Messi v Ronaldo.

Didorong dengan semangat mengejar trofi, rekod dan keinginan tanpa henti untuk menjadi yang terbaik, pasangan itu – berkemungkinan akan membuat penampilan terakhir Piala Dunia kali ini – telah mendorong satu sama lain ke tahap yang lebih tinggi.

Ia adalah saingan yang melangkaui perdebatan ‘terhebat sepanjang zaman’ yang telah mereka cetuskan.

“Mereka berdua mengubah (corak permainan) bola sepak,” kata Di Maria.

Tanya sahaja peminat, siapa di antara kededua pemain tersebut yang paling hebat dan sudah pasti jawapannya sukar dicari.

“Ia mesti Ronaldo,” kata bekas rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United, Rio Ferdinand.

“Messi adalah yang terbaik pernah ada,” tegas pula bekas pemain dan pengurus Barcelona, ​​Xavi.

Ronaldo pernah menyatakan pada 2012 apabila ditanya mengenai persaingannya dengan Messi dengan berkata:

“Anda tidak boleh membandingkan Ferrari dengan Porsche. Ia adalah enjin yang berbeza. Sesetengah orang berkata saya lebih baik, sesetengah orang lain pula kata dia (Messi) lebih baik. Mereka akan memutuskan siapa yang lebih baik pada masa ini dan saya fikir ia adalah saya.”

Jika dinilai berdasarkan jumlah gol atau trofi Liga Juara-Juara, Ronaldo mendahului. Jika berdasarkan jumlah kemenangan Ballons d’Or atau trofi, Messi berada di hadapan.

Bagi sesetengah pihak, Ronaldo mendahului apabila beliau membantu Portugal menjulang Kejohanan Eropah pada 2016, tetapi Messi telah mengetuai Argentina memenangi dua kejuaraan besar – Copa America dan Piala Dunia.

“Bagi saya, Messi adalah pemain terbaik dalam sejarah dan Cristiano adalah penjaring gol terhebat dalam sejarah,” kata pakar bola sepak Sepanyol, Guillem Balague, yang telah menulis biografi kedua-dua pemain.

Deco, yang pernah bermain dengan Ronaldo dalam skuad Portugal dan Messi semasa menyarungi jersi Barcelona, ​​berkata:

“Mereka istimewa. Mereka sama sekali berbeza daripada yang lain. Bukan perkara biasa untuk berada di tahap sebegini selama ini.

“Setiap tahun, terdapat ramai pemain yang melakukan perkara yang menakjubkan selama beberapa tahun, tetapi untuk melakukannya sepanjang hampir 20 tahun bukanlah perkara biasa.” – Agensi berita.