Topik diikuti
Pergi ke BHkuJangkakan saingan sengit England, Argentina; Bellingham, Messi mampu jadi penentu
Jangkakan saingan sengit England, Argentina; Bellingham, Messi mampu jadi penentu
‘The Three Lions’ dahagakan peluang untuk kembali ke pentas final Piala Dunia sejak penantian 60 tahun; Argentina turut bersemangat, miliki kekuatan untuk pertahan mahkota dunia yang dimenangi empat tahun lalu
Jangkakan saingan sengit England, Argentina; Bellingham, Messi mampu jadi penentu
Selepas dua dekad tidak bertemu dalam sebarang kejohanan utama, England dan Argentina bakal memperbaharui persaingan mereka apabila berentap pada aksi separuh akhir kedua Piala Dunia 2026 pada 16 Julai di Stadium Atlanta.
England kini hanya selangkah lagi untuk mara ke final Piala Dunia – kali pertama dalam tempoh enam dekad selepas kejayaan mereka pada 1966.
Namun, cabaran yang menanti bukan calang-calang apabila mereka berdepan Argentina, juara bertahan yang memiliki reputasi luar biasa di pentas terbesar dunia.
Mereka bukan sahaja juara bertahan Piala Dunia, malah memiliki rekod sempurna dalam sejarah separuh akhir Piala Dunia.
Setiap kali mara ke tahap ini sebelum ini, pasukan bergelar La Albiceleste itu berjaya melangkah ke final.
Justeru, pertemuan ini bukan sekadar perebutan tempat ke perlawanan terakhir kejohanan, tetapi pertembungan antara sejarah England yang mahu menamatkan penantian lama, dengan dominasi Argentina yang mahu mempertahankan mahkota.
Pertembungan dua negara ini sentiasa sarat dengan emosi dan drama.
Daripada jaringan ‘Hand of God’ Diego Maradona pada 1986, sehinggalah perlawanan dramatik Piala Dunia 1998 yang menyaksikan David Beckham dilayangkan kad merah, pertemuan England dan Argentina sering menghasilkan detik yang hangat dalam sejarah bola sepak.
The Three Lions kini tiba di Atlanta dengan keyakinan yang semakin meningkat. Di bawah kendalian Thomas Tuchel, mereka mempamerkan mentaliti yang lebih kukuh berbanding kejohanan-kejohanan sebelumnya.
Mereka bukan sahaja memiliki kualiti individu bertaraf dunia, malah menunjukkan kemampuan untuk menang dalam situasi penuh tekanan.
Sepanjang perjalanan ke separuh akhir, England beberapa kali diuji.
Mereka tidak sentiasa mempamerkan bola sepak sempurna, namun keupayaan untuk mencari jalan kemenangan menjadi kekuatan utama mereka.
“Saya kagum dengan usaha, semangat sepasukan dan kepercayaan mereka... Namun, saya juga seorang jurulatih dan saya rasa kami boleh bermain dengan lebih baik... kami tidak kemas, banyak kesilapan teknikal,” akui Tuchel, selepas kemenangan anak didiknya ke atas Norway di suku akhir.
Seperti yang diakui Tuchel, kejayaan England bukan tanpa kekurangan.
Benteng pertahanan masih menjadi persoalan selepas beberapa kesilapan individu memberikan peluang kepada lawan.
Berdepan Argentina yang memiliki bintang seperti Lionel Messi dan Julian Alveres, England tidak boleh memberi ruang walaupun sesaat.
Namun, pemain yang paling mencuri perhatian sepanjang kejohanan ialah Jude Bellingham.
Bintang Real Madrid itu tampil sebagai simbol generasi baharu England.
Dengan gabungan tenaga, kreativiti dan kemampuan menghasilkan gol dari kawasan tengah, Bellingham menjadi pemain yang mampu mengubah corak permainan dalam sekelip mata.
Gandingan Bellingham dan kapten Harry Kane pula bakal memberikan ancaman tambahan menerusi kreativiti dan ketajaman mereka di bahagian serangan.
Gabungan kedua pemain itu memberikan keyakinan kepada Tuchel untuk atasi Argentina.
“Jika kita bercakap tentang formula, ia cukup mudah. Gandingkan Harry dan Jude bersama, mereka akan selesaikan selebihnya... mereka sukakan tanggungjawab itu dan mereka mempunyai kualiti untuk melaksanakannya,” katanya.
Argentina pula datang dengan aura sebuah pasukan juara. Sejak memenangi Piala Dunia 2022, pasukan itu terus mengekalkan standard tinggi di bawah Lionel Scaloni.
Walaupun generasi mereka berubah secara berperingkat, identiti pasukan itu kekal sama – disiplin, tenang dan sangat sukar ditundukkan dalam perlawanan besar.
Sudah tentu, semua mata tertumpu kepada Messi. Pada usia 39 tahun, kapten Argentina itu masih menjadi nadi pasukan.
Walaupun tidak lagi memiliki kepantasan seperti zaman kemuncaknya, kepintaran, visi dan sentuhan magis Messi kekal menjadi ancaman terbesar buat mana-mana pertahanan.
Setiap kali bola jatuh ke kakinya, Argentina mempunyai kemampuan mencipta sesuatu daripada situasi yang kelihatan biasa-biasa sahaja.
Pertembungan ini juga bakal menjadi perlawanan taktikal antara dua jurulatih yang mempunyai pendekatan berbeza.
Tuchel dijangka mahu England bermain dengan intensiti tinggi, menekan Argentina sejak awal dan memanfaatkan kelemahan ketika lawan kehilangan bola.
Scaloni pula terkenal dengan kebolehannya menyesuaikan taktik mengikut lawan.
Argentina mungkin tidak mengejar penguasaan bola sepanjang masa, tetapi mereka amat berbahaya apabila berjaya menarik lawan keluar daripada posisi sebelum melancarkan serangan.
Kunci utama buat England adalah bagaimana mereka mengawal Messi.
Namun, terlalu memberi tumpuan kepada seorang pemain boleh membuka ruang kepada pemain Argentina lain yang juga memiliki kemampuan menentukan perlawanan.
Bagi Argentina, cabaran terbesar adalah mengatasi kekuatan fizikal dan kepantasan England, terutama jika perlawanan memasuki fasa akhir.
England tentunya mahu menamatkan penantian selama 60 tahun untuk kembali ke final dunia.
Argentina pula mahu membuktikan mereka masih kuasa utama bola sepak antarabangsa dan menghampiri kejuaraan kedua berturut-turut.
Ramalan wartawan: England 2-1 Argentina
