MANCHESTER: Pemain England Bukayo Saka, menjaringkan hatrik untuk membantu pasukannya menang 7-0 ke atas North Macedonia pada Isnin, sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan C dalam kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut bagi England.
Selain tiga jaringan Saka, kapten pasukan England, Harry Kane, turut menjaringkan gol. Beliau menjaringkan gol ke-57 dan gol ke-58 buat negaranya. Marcus Rashford dan Kalvin Philips masing-masing menyumbang satu gol dalam perlawanan yang diadakan di Old Trafford itu.
Ternyata England menguasai perlawanan itu seperti yang dijangka.
Secara keseluruhannya, England kelihatan sudah bersedia menghadapi cabaran Euro 2023 selepas meraih 12 mata atau menang semua perlawanan kelayakan setakat ini. Selain menewaskan Ukraine – yang hanya mempunyai enam mata daripada tiga perlawanan – England juga menewaskan Italy dan Malta.
Di Old Trafford, jaringan pertama Saka timbul pada minit ke-38 hasil rembatannya ke sudut dekat bahagian atas gawang.
Gol keduanya dijaringkan sejurus selepas bermula separuh masa kedua apabila beliau menahan bola dengan dada dan kemudian membuat rembatan voli dengan kaki kirinya.
Saka melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-51 hasil lariannya selepas mendapat umpanan Kane dan beliau kemudian mendapat sorakan rakan-rakan sepasukan.
Pengurus England, Gareth Southgate, ternyata salah seorang yang paling gembira dengan memberi pelukan kepada pemain muda berusia 21 tahun itu apabila digantikan.
Padahal Saka dikatakan mengalami sedikit kecederaan di kaki.
Menurut Southgate:
“Semasa beliau (Saka) mula bermain di Arsenal, yang ketika itu menghadapi masalah sebagai sebuah pasukan, Saka bermain di tahap yang tinggi.
“Dan apabila pasukan itu mula bermain dengan baik, beliau masih tetap kekal di tahap yang tinggi.
“Itu yang baik tentang mentalitinya dan kemampuannya mengatasi tekanan.
“Dan itulah sekitaran yang dihadapi kita semua. Beliau memang luar biasa.”
Di akhir musim yang panjang di mana Arsenal duduk di tangga kedua di belakang Manchester City dalam Liga Perdana England (EPL), Saka sepatutnya berehat untuk pulih daripada kecederaannya, tambah Southgate.
England akan menentang Ukraine pula pada 9 September, sementara North Macedonia yang mempunyai tiga mata daripada tiga perlawanan menentang Italy, yang ketika ini di tangga ketiga dengan tiga mata daripada dua perlawanan. – Agensi berita.