MANCHESTER: Selepas membantu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 atas Manchester United, Mohamed Salah mendedahkan bahawa ini adalah musim terakhir beliau di Anfield.
Pemain asal Mesir itu menjaringkan gol dan merintis (assist) dua lagi gol untuk Luis Diaz sambil Liverpool meneruskan pencapaian baik di bawah pengurus baru, Arne Slot.
Dalam pada itu, Salah adalah pemain pelawat yang menjaringkan gol terbanyak di Old Trafford dalam sejarah Liga Perdana England (EPL) dengan tujuh gol.
United tidak mampu menandingi musuh ketat mereka dari awal hingga akhir, dan mereka mungkin mengalami kekalahan lebih besar jika Salah dan rakan-rakannya menyempurnakan beberapa peluang yang lain.
Sementara pemain Liverpool lain meraikan kemenangan besar mereka, Salah menambat perhatian dengan rumusannya posperlawanan.
“Saya mempunyai musim panas yang baik, masa yang lama untuk bersendirian dan berfikir secara positif. Ini adalah musim terakhir saya bersama kelab (Liverpool) dan saya mahu menikmatinya.
“Saya rasa saya bebas untuk bermain bola sepak — kita akan lihat apa yang akan berlaku musim depan. Tiada siapa dalam kelab yang bercakap dengan saya tentang kontrak. Ini bukan bergantung pada saya, ia bergantung pada kelab,” kata pemain berusia 32 tahun itu kepada akhbar Sky Sports.
Permulaan impian Arne Slot di England berterusan apabila beliau menjadi pengurus Liverpool pertama yang memenangi pertemuan pertama dengan United sejak Bob Paisley pada November 1975, dan hanya yang kedua melakukannya di tempat lawan selepas George Kay pada November 1936.
Namun, selepas perlawanan, hanya ada satu topik di bibir orang ramai.
“Ada banyak andaian, tetapi pada masa ini Salah adalah salah seorang daripada kami dan saya sangat gembira dengannya.
“Saya tidak bercakap tentang kontrak. Prestasi beliau mengagumkan seperti dalam dua perlawanan pertama. Jadi, kita tidak adil kepada yang lain jika hanya menumpukan pada seorang pemain sahaja,” kongsi Slot.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg