Manchester United menuju ke perlawanan kedua mereka di padang sendiri musim ini bagi menentang musuh lama, Liverpool.
Kemenangan di Old Trafford akan dapat menghalang pengurus pesaing mereka itu, Arne Slot, daripada kekal tanpa kalah dalam permulaan Liga Perdana England (EPL), sebelum musim ini direhatkan menjelang perlawanan antarabangsa.
Sedang United mengesahkan pembelian Manuel Ugarte dari Paris Saint-Germain (PSG), pengurus pasukan itu, Erik ten Hag, sedar pasukannya perlu memperbaiki corak permainan selepas kalah di tangan Brighton 2-1 pada 24 Ogos.
Apatah lagi pasukannya itu bakal berhadapan dengan pasukan handal seperti Liverpool.
Ugarte yang berasal dari Uruguay dianggap menjadi pengganti jangka panjang kepada Casemiro sebagai pemain tengah pertahanan, tetapi tidak mungkin membuat penampilan sulungnya di Stadium Old Trafford dalam pertembungan pada 1 September ini.
Sebaliknya, United perlu menyertakan pemain yang ada pada masa ini untuk menjalankan tugas dengan sempurna dan memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Sementara itu, Liverpool bakal bertandang ke stadium lawan dengan penuh bersemangat hasil kemenangan 2-0 ke atas Brentford di Anfield pada 25 Ogos.
Sudah pasti mereka akan menjadi pilihan untuk menang, meskipun mereka belum mencapai sebarangan kemenangan di Old Trafford sejak 2021.
Slot juga gagal mendapatkan mana-mana pemain pilihannya pada musim panas kali ini, dengan Martin Zubimendi (Real Sociedad), antara beberapa sasaran utama yang menolak pelawaan The Reds semasa jendela perpindahan dibuka.
Justeru kededua pasukan United dan Liverpool perlu membuktikan kemampuan mereka dan berusaha meningkatkan rentak permainan sebelum melalui perlawanan lain.
Pada masa ini, kededua pasukan sedang menghadapi masalah kecederaan menjelang musim kali ini.
Tetapi benteng pertahanan United yang terjejas akibat perpindahan Raphael Varane ke kelab Serie A Italy, Como, dan kecederaan yang dialami pemain baru mereka, Leny Yoro, bermakna pasukan itu perlu berhati-hati bagi memastikan Liverpool tidak menggugat pertahanan pasukan itu.
Pemain penyerang Liverpool, Diogo Jota, telah menjaringkan gol dan banyak membantu pasukannya menang dalam dua perlawanan pembukaan EPL mereka menentang Ipswich dan Brentford.
Gandingan beliau dengan Luis Diaz dan Mohamed Salah sudah pasti penting bagi menghasilkan kemenangan buat pasukan bimbingan Slot itu.
Sekiranya Jota kekal cergas sepanjang musim kali ini, beliau dijangka menjadi penyudah yang lebih baik berbanding Darwin Nunez dan boleh menjadi ayam tambatan Liverpool dalam usaha mereka mengejar kejuaraan EPL kali ini.
Pada masa yang sama, pemain bek tengah United, Lisandro Martinez, kian menyerlah dalam permainannya dan mula menunjukkan kemampuan dalam memastikan benteng pertahanan pasukannya terus kukuh.
Sudah pasti perlawanan kali ini akan menjadi pertarungan menarik apatah lagi jika terdapat ruang terbuka dalam permainan – memberi peluang kepada kededua pasukan untuk menyerang.
United sudah pasti perlu mengukuhkan bahagian ‘midfield’ mereka semasa menentang Liverpool yang kelihatan lebih terkawal dalam musim kali ini.
Semasa kekalahan kepada Brighton, pemain midifled bahagian serangan United, Bruno Fernandes, dialihkan daripada peranan biasanya dan saling bertukar dengan Mason Mount dan Amad Diallo.
Sekiranya Fernandes mampu bermain lebih tengah dekat dengan Joshua Zirkzee (penyerang), yang menjaringkan gol semasa menentang Fulham di Old Trafford, maka United dijangka mampu merobek pertahanan Liverpool.
Pertarungan pasukan bimbingan kededua jurulatih – ten Hag dan Slot – yang berasal dari Belanda sudah pasti akan menyemarakkan suasana stadium.
Ten Hag perlu memainkan taktik yang betul dalam usaha mengatasi dan mengekang corak permainan yang diterapkan Slot.
Bahagian pertahanan United kini dibarisi pemain asal Maghribi, Noussair Mazraoui, yang boleh bergandingan dengan Martinez di samping Matthijs de Ligt.
Casemiro dan Kobbie Mainoo dijangka berganding di bahagian ‘midfield’; Diallo, Mount dan Marcus Rashford di hadapan sedikit; sementara Fernandes atau Zirkee mengetuai jentera serangan.
Liverpool pula mengalami masalah kecederaan dengan kecergasan pemain bek tengah mereka, Jarrell Quansah, belum dapat dipastikan.
Namun Ibrahima Konate dijangka dapat membantu mengukuhkan bahagian bek tengah pasukan itu, dan Slot juga kelihatan sudah dapat menstabilkan senarai pemain kesebelasan utamanya, dengan Jota di bahagian serangan sementara Ryan Gravenberch menguatkan bahagian midfield mereka.
Liverpool mungkin telah menang 3-0 ke atas United dalam perlawanan persahabatan pramusim yang baru lalu, namun dalam persaingan, mereka hanya menang sekali daripada lima pertemuan sebelum ini.
Justeru, tidak mengejutkan sekiranya United mampu mengikat Liverpool dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan kali ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg