LONDON: Jadon Sancho, yang kini diketepikan di kelab bola sepak Manchester United, boleh berpindah ke Borussia Dortmund jika rancangan United untuk meminjamkan pemain itu kepada kelab Jerman itu menjadi nyata.
Sancho masih enggan memohon maaf kepada pengurusnya Erik ten Hag berhubung kiriman di media sosial yang mana pemain itu mendakwa ten Hag sengaja mempersalahkan beliau ekoran keputusan United di padang yang mengecewakan.
Menjawab soalan wartawan menyusuli kekalahan kepada Arsenal di awal musim – yang mana Sancho tidak diturunkan – ten Hag memberi respons yang mencadangkan pemain itu beraksi dengan cara kurang menyerlah di padang latihan.
Sancho, 23 tahun, menolak dakwaan itu dan sehingga masa ini, enggan memohon maaf.
Sejak insiden itu, Sancho tidak dibenarkan berlatih dengan pasukan utama United dan kededua ten Hag dan pemain itu belum menunjukkan sebarang tanda masing-masing akan mengalah.
United membeli Sancho daripada Dortmund dengan harga £73 juta ($122 juta) pada Julai 2021.
Dalam laporan pada 3 Januari, BBC melaporkan kelab yang beraksi dalam Bundesliga Jerman itu sanggup mengambil semula pemain itu pada Januari ini dan berharap dapat mencapai persetujuan untuk mendapatkan khidmatnya sehingga akhir musim.
Namun, sebarang perjanjian dijangka terus membebankan United dari segi kewangan, kerana kelab itu telah memberi Sancho kenaikan gaji yang tinggi apabila menyertai United.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg