GLASGOW (Scotland): Scotland berjaya mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak 1998 dengan aksi yang mendebarkan, apabila gol masa tambahan oleh Kieran Tierney dan Kenny McLean menjamin kemenangan 4-2 melawan Denmark di Hampden Park pada 18 November.
Apabila Patrick Dorgu menyamakan kedudukan untuk Denmark pada minit ke-81, nampaknya pasukan itu akan memperoleh mata yang diperlukan untuk menjuarai Kumpulan C dan melayakkan diri ke kejohanan 2026 di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.
Namun, Tierney berjaya menjaringkan gol hebat pada minit ketiga masa tambahan, sementara McLean melepaskan rembatan jauh ke gol kosong semasa penjaga gol, Kasper Schmeichel, berada di kawasan serangan, yang menyebabkan para penyokong bersorak kegembiraan.
Scott McTominay memberi Scotland kelebihan dengan gol tendangan belakang pada minit ketiga.
Namun, Rasmus Hojlund menyamakan kedudukan melalui penalti pada minit ke-57, sebelum Rasmus Kristensen diusir keluar padang.
Lawrence Shankland kemudian menjaringkan gol untuk meletakkan Scotland di hadapan.
Di Seville, Sepanyol mengesahkan tempat mereka setelah seri 2-2 menentang Turkey, menamatkan kempen mereka tanpa kalah di puncak Kumpulan E walaupun diberikan ujian hebat oleh Turkey.
Juara Eropah itu mendahului dengan gol Dani Olmo pada minit keempat, tetapi Turkey, yang memerlukan kemenangan tujuh gol untuk menjuarai kumpulan, menyamakan kedudukan melalui Deniz Gul pada minit ke-42.
Turkey kemudian mengejutkan penyokong tuan rumah dengan mendahului pada minit ke-54 melalui gol Salih Ozcan dari luar kotak.
Namun, Mikel Oyarzabal menyamakan kedudukan lapan minit kemudian, menghalang Sepanyol daripada mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam perlawanan kelayakan.
Turkey kini akan beraksi dalam perlawanan ‘playoff’ untuk tempat ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.
Belgium menewaskan Liechtenstein 7-0 untuk mengesahkan tempat mereka, menamatkan kempen mereka tanpa sebarang kekalahan.
Kemenangan kelima dalam lapan perlawanan memberi Belgium 18 mata di tangga pertama Kumpulan J, dua mata lebih daripada naib juara, Wales, sekali gus memastikan tempat mereka di Piala Dunia.
Jeremy Doku dan Charles De Ketelaere masing-masing menjaringkan dua gol, manakala Hans Vanaken, Brandon Mechele, dan Alexis Saelemaekers turut menjaringkan gol dalam tempoh tujuh minit yang penuh aksi pada separuh masa kedua.
Belgium akan beraksi di pusingan akhir Piala Dunia buat kali ke-15, selepas dua kali menempah tempat di separuh akhir.
Austria layak selepas berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-77 melalui Michael Gregoritsch ketika menentang Bosnia dan Herzegovina untuk seri 1-1 dan menjuarai Kumpulan H.
Ini akan menjadi penampilan pertama Austria di Piala Dunia sejak 1998.
Bosnia, yang mendahului dengan tandukan Haris Tabakovic pada minit ke-12, menamatkan saingan di tempat kedua dengan 17 mata, dua mata di belakang Austria, dan akan beraksi dalam ‘playoff’ pada Mac bagi merebut tempat di Piala Dunia 2026, yang akan dihoskan bersama oleh Mexico, Amerika dan Canada. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg