Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebab F1 perlu mansuhkan peraturan ‘kunci’ kereta lumba sebelum perlawanan

Cuaca hujan saksikan Ferrari, Aston Martin, Mercedes dan Williams pilih mula perlumbaan dengan satu kereta dari lorong pit, bukan dari grid mula
Aug 4, 2025 | 5:30 AM
F1, peraturan ‘parc ferme’, Grand Prix Belgium
Semasa pusingan pembentukan Grand Prix Belgium 2025 pada 27 Julai, terdapat deretan kereta di Litar Spa-Francorchamps yang basah akibat hujan, sekali gus menyebabkan permulaan perlumbaan tertunda. - Foto EPA

Permulaan tertunda Grand Prix Belgium telah menutup satu lagi kelemahan dalam Formula Satu (F1) – sukan yang digelar kemuncak perlumbaan kereta dunia.

Jika perlumbaan itu berlangsung dalam cuaca kering, atau dengan permulaan tradisional dari petak utama, grid di Litar Spa-Francorchamps, Belgium, hanya akan menampilkan 16 kereta.

Hujan sebelum perlumbaan 44 pusingan pada 27 Julai memberi kelebihan kepada empat pasukan – Ferrari, Aston Martin, Mercedes dan Williams – yang memilih untuk memulakan perlumbaan dengan satu kereta masing-masing dari lorong pit, iaitu laluan khas untuk servis kereta, dan bukannya dari grid, atau barisan permulaan.

Langkah itu menyebabkan pelumba terkenal seperti Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Kimi Antonelli dan Carlos Sainz, tidak memulakan perlumbaan di barisan permulaan, sekali gus mengurangkan keterujaan visual dan suasana debaran bagi para peminat.

Namun, pasukan tersebut percaya mereka akan memperoleh satu kelebihan dengan membuat perubahan pada tetapan atau set-up kereta selepas sesi kelayakan, meskipun ia melanggar peraturan parc ferme.

Pada dasarnya, parc ferme – bermakna ‘taman tertutup’ dalam bahasa Perancis – merujuk kepada kawasan selamat apabila kereta disimpan di bawah pengawasan ketat selepas kelayakan dan sebelum perlumbaan.

Ini bagi memastikan keadilan dan menghalang pasukan daripada membuat pengubahsuaian tanpa kebenaran pada kereta mereka sebelum perlumbaan.

Peraturan parc ferme yang diperkenal sejak 2003 bertujuan ‘mengunci’ tetapan kereta dari sesi kelayakan hingga ke perlumbaan, bagi mengelakkan pasukan menggunakan ‘kereta kelayakan’ khas atau mendapatkan kelebihan yang tidak adil, lapor PlanetF1.com.

Dengan sengaja memulakan perlumbaan dari lorong pit, pasukan itu menemui kelemahan dalam sistem tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada peraturan sedia ada masih relevan dalam persekitaran perlumbaan masa kini.

Pada awal 2000-an, F1 menyaksikan pembangunan agresif dalam aspek enjin, tayar dan aerodinamik, dan pasukan turut dibenarkan menggunakan kereta gantian.

Namun sejak itu, sukan ini telah memperkenal pelbagai peraturan untuk mengawal kos dan memperbaiki keadaan kerja.

Penggunaan kereta gantian juga kemudian tidak lagi dibenarkan pada 2008.

Kini, pasukan hanya membawa alat ganti dan rangka kereta (casis) sebagai persediaan.

Sekatan waktu kerja yang ketat telah dikuatkuasakan sejak 2011 untuk menjaga kebajikan anggota pasukan, khususnya mekanik.

Pembangunan enjin turut disekat, menyebabkan kebanyakan unit kuasa kini mempunyai prestasi yang hampir sama.

Ia sekali gus menghapuskan penggunaan enjin khas yang dahulunya digunakan hanya untuk sesi kelayakan satu pusingan.

Ini disokong oleh sistem kumpulan yang mengehadkan bilangan unit enjin yang boleh digunakan oleh setiap pemandu sepanjang musim.

Dari segi tayar pula, Pirelli telah menjadi satu-satunya pembekal tayar F1 sejak 2011, membekalkan tayar seragam kepada semua pasukan – tidak seperti dahulu apabila pasukan seperti Ferrari mempunyai tayar rekaan khas.

Selain itu, had bajet yang diperkenal kini menghalang pasukan daripada berbelanja berlebihan demi peningkatan prestasi yang kecil.

Namun, meskipun pelbagai langkah moden telah diperkenalkan, peraturan parc ferme yang dianggap lapuk masih menghalang pasukan daripada melaraskan kereta mereka selepas sesi kelayakan – satu peraturan yang kini dipersoalkan kerelevanannya.

Pasukan F1 masa kini sebenarnya sudah menjalankan kerja penyelenggaraan rutin dan penggantian alat ganti selepas sesi kelayakan, dengan kelulusan daripada Badan induk Formula Satu (FIA). 

Langkah itu bertujuan mengelakkan masalah kebolehpercayaan – iaitu isu yang mahu dielakkan ketika peraturan, parc ferme, mula diperkenalkan.

Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa larangan membuat perubahan selepas sesi kelayakan akan meningkatkan risiko kereta mengalami kegagalan teknikal semasa perlumbaan.

Namun, kebimbangan itu tidak berasas kerana prestasi kereta F1 moden kini jauh lebih boleh dipercayai.

Dengan peningkatan kebolehpercayaan itu, corak perlumbaan turut menjadi lebih mudah diramal.

Ketidakupayaan pasukan untuk melaras semula kereta selepas sesi kelayakan menyebabkan kereta terpantas dalam satu pusingan biasanya kekal dominan sepanjang perlumbaan.

Malah, apabila pasukan mencatat keputusan kelayakan yang buruk, mereka tidak dikenakan banyak penalti jika memilih untuk bermula dari lorong pit – namun ini menyebabkan jumlah kereta yang bermula dari barisan permulaan berkurangan.

Dengan peraturan semasa mengenai had komponen, bajet dan pembekal, alasan untuk mengekalkan peraturan parc ferme semakin kurang relevan.

Bayangkan perlumbaan F1 tanpa peraturan parc ferme selepas pusingan kelayakan – apabila pasukan bebas melaraskan tetapan kereta mereka – pastinya setiap perlumbaan bakal menyaksikan barisan kereta yang lengkap.

Sejak kemunculan enjin hibrid pada 2014, permulaan dari lorong pit semakin kerap berlaku.

Pada 2025, kurang daripada satu pertiga perlumbaan bermula dengan kesemua 20 kereta di barisan permulaan.

Manakala pada 2024, hanya 11 daripada 30 perlumbaan mempunyai barisan penuh – rekod terendah dalam dua dekad sejak 2003, apabila peraturan parc ferme mula diperkenal.

Menurut analisis PlanetF1.com terhadap perlumbaan F1 sejak 2000, yang merangkumi 511 perlumbaan, sebanyak 62 peratus perlumbaan bermula dengan barisan penuh.

Namun mulai awal 2024, angka itu merosot kepada hanya 34 peratus.

Sesetengah pasukan tidak bermula dari barisan permulaan kerana isu teknikal, namun semakin banyak pasukan memilih untuk memulakan perlumbaan dari lorong pit sebagai strategi perlumbaan.

Jika matlamat asal adalah untuk mengelakkan kelebihan yang tidak adil, peraturan parc ferme kini berfungsi sebaliknya – menguntungkan pasukan teratas yang boleh bangkit semula selepas membuat pelarasan pada tetapan kereta.

Begitu juga, keputusan kelayakan yang kurang baik sepatutnya membawa kesan yang nyata kepada pasukan – namun dengan memilih untuk bermula dari lorong pit, mereka masih boleh membuat pelarasan pada kereta dan mengurangkan kesan tersebut.

Dengan pelbagai sekatan sedia ada seperti had bajet dan waktu kerja, memansuhkan parc ferme boleh menampilkan lebih banyak aksi dan keterujaan buat penonton. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg