Selepas melalui detik sukar bersama skuad kebangsaan, Jordan Emaviwe kini mahu menjadikan musim baharu bersama Hougang United sebagai permulaan baharu.

Beliau tiba membawa pulang pengalaman berharga selepas dua tahun beraksi di Thailand bersama Chiangrai United dan BG Pathum.

Pemain pertahanan itu mengakui tempoh di luar negara banyak mematangkannya, bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga sebagai individu.

Selepas meninggalkan Singapura untuk beraksi di Thailand, Emaviwe terpaksa berdikari jauh daripada keluarga dan rakan, selain menyesuaikan diri dengan persekitaran bola sepak yang lebih mencabar.

“Saya rasa saya kini lebih matang sebagai seorang individu kerana tinggal di sana seorang diri sebagai pemain asing,”

“Dari segi bola sepak juga, saya rasa saya banyak berkembang kerana berlatih dengan pemain berkualiti setiap minggu,” kata pemain pertahanan berusia 25 tahun itu.

Pemain pertahanan Hougang ini boleh beraksi sebagai penyerang juga. Tempoh dua tahun beraksi di luar negara diakuinya banyak mematangkan permainan serta keperibadiannya sebagai pemain.
Pemain pertahanan Hougang ini boleh beraksi sebagai penyerang juga. Tempoh dua tahun beraksi di luar negara diakuinya banyak mematangkan permainan serta keperibadiannya sebagai pemain. - Foto fail

Pengalaman tersebut turut mengubah cara Emaviwe membuat keputusan di padang, dengan pemain itu mengakui aspek kematangan menjadi perubahan terbesar dalam permainannya.

Kini kembali ke Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Hougang, Emaviwe mahu menggunakan pengalaman tersebut untuk membantu skuad yang sedang melalui proses pembinaan semula di bawah kendalian Akbar Nawas.

Akbar sendiri meyakinkan Emaviwe bahawa beliau mempunyai peranan penting dalam pasukan, termasuk kemungkinan bermain di posisi pertahanan, selepas sebelum ini turut digunakan sebagai penyerang.

“Di mana sahaja jurulatih mahu saya bermain, saya akan gembira. Tetapi musim ini saya kebanyakannya akan bermain sebagai pertahanan,” katanya.

Namun, cabaran Emaviwe bukan hanya untuk membuktikan dirinya di peringkat kelab.

Beliau juga mahu kembali ke radar skuad kebangsaan selepas pernah menjadi sebahagian daripada pasukan yang membantu Singapura layak ke Piala Asia.

Jordan Emaviwe (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak selepas kesilapan hantarannya membolehkan India menjaringkan gol penyamaan 1-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional pada Oktober 2025. Beliau kini mahu bangkit dan fokus mencipta kenangan baharu bersama Hougang
Jordan Emaviwe (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak selepas kesilapan hantarannya membolehkan India menjaringkan gol penyamaan 1-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional pada Oktober 2025. Beliau kini mahu bangkit dan fokus mencipta kenangan baharu bersama Hougang - Foto ZAOBAO

Perjalanan itu bagaimanapun turut diselubungi satu detik yang sukar dilupakan – kesilapan di mana hantarannya disekat oleh pemain India yang mengakibatkan gawang Singa dibolosi – mengakibatkan perlawanan berakhir 1-1.

Kejadian itu yang hampir menjejaskan peluang Singa dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, tetapi mujur Singa berjaya mengatasi Hong Kong 2-1 pada 18 November untuk melayakkan diri ke pertandingan tersebut.

Emaviwe mengakui ketika itu beliau merasakan seolah-olah telah mengecewakan seluruh pasukan yang berkongsi impian sama untuk layak ke kejohanan tersebut.

Namun, selepas Singapura akhirnya berjaya mendapatkan tiket ke Piala Asia, beliau kini memilih untuk tidak terus ‘terperangkap’ dengan kesilapan tersebut.

“Saya hanya cuba bergerak ke hadapan dan bermain bola sepak saya. Saya mahu mencipta kenangan baharu,” katanya.

Musim bersama Hougang kini menjadi peluang untuk Emaviwe berbuat demikian.

Selain membantu pasukan tersebut mencapai sasaran untuk menamatkan musim di kelompok atas dan memberi cabaran hebat dalam Piala Singapura, pemain itu turut melihat dirinya mempunyai tanggungjawab untuk membantu pemain lebih muda.

Dengan pengalaman bermain di luar negara serta bersama skuad kebangsaan, Emaviwe mahu menjadi tempat rakan sepasukan mendapatkan pandangan, terutama ketika berdepan kesilapan atau detik sukar.