Beberapa pemain kriket telah meluahkan rasa kecewa dan hampa terhadap hukuman gantung tugas jurulatih selama hanya setahun ke atas Ketua Eksekutif Persatuan Kriket Singapura (SCA) Saad Khan Janjua.
Menurut mereka, hukuman itu terlalu ringan dan telah “menyebabkan pemain berasa hampa terhadap sistem yang sepatutnya melindungi mereka”.
Menurut laporan The Straits Times (ST) pada 19 September, pangkalan data disiplin Suruhanjaya Keselamatan Sukan menyatakan bahawa Janjua “digantung daripada peranan jurulatih selama setahun, dan tertakluk kepada syarat memenuhi kelayakan untuk menyertai Daftar Jurulatih Nasional (NROC)” dari 15 September.
Janjua turut “digantung daripada jawatan sebagai pentadbir sukan, tertakluk kepada penyelesaian program pendidikan”.
Suruhanjaya itu, yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Sukan Singapura (SportSG), menyatakan bahawa ia menerima “laporan yang membimbangkan pada Ogos 2024, yang berpotensi melanggar Kod Bersatu Keselamatan Sukan (Safe Sport)”.
Safe Sport dilapor bertindak selepas menerima aduan daripada pemain yang berkata mereka telah dicerca.
Penggantungan Janjua daripada jawatan pentadbir sukan itu telah ditarik balik kerana beliau sudah menyelesaikan program pendidikan berkenaan.
Namun, beberapa pemain kriket Singapura – yang enggan dinamakan untuk melindungi kerjaya masing-masing – telah mempersoalkan sebab SCA tidak mengenakan hukuman tambahan terhadap Janjua.
Seorang pemain kriket nasional yang bercakap bagi pihak pemain yang mengadu kepada Suruhanjaya Keselamatan Sukan, berkata:
“Walaupun para pemain mengalu-alukan keputusan bahawa Janjua didapati salah di bawah Tatalaku Keselamatan Sukan, kami rasa hukumannya terlalu ringan. Kesan hukuman itu tidak mencukupi dan mereka (SCA) mampu beroperasi seperti biasa.”
Pemain itu turut kecewa tidak ada kaedah lain untuk mencari jalan penyelesaian bagi hal tersebut.
“Adalah amat mengecewakan sehingga kami rasa tidak berdaya dan mahu berputus asa. Hukuman yang dikenakan hanya berjalan kurang seminggu, walaupun kami telah menahan cercaan berbentuk perkauman, lisan dan mental untuk beberapa tahun,” tambahnya.
“Beliau telah kembali, seolah-olahnya tidak ada kesalahan yang berlaku.”
Menurut pemain itu, “keadaan kriket Singapura pada masa ini adalah yang paling teruk dan keputusan ini menyebabkan beberapa pemain berasa hampa dengan sistem yang sepatutnya melindungi kami”.
“Kami juga kecewa terhadap SCA kerana tidak mengambil langkah selanjutnya untuk melindungi masa depan sukan ini,” ujar beliau.
Janjua, 51 tahun, seorang warga Singapura, merupakan bekas pemain dan kapten pasukan kriket nasional.
Menurut laman LinkedIn, beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah kejurulatihan di SCA sejak 2010, dan sebagai ketua eksekutif sejak 2015.
Beliau juga pernah menjadi pengurus pasukan nasional.
Dakwaan terhadapnya muncul sebelum Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Pada tahun itu, Singapura menewaskan tuan rumah Kemboja untuk meraih pingat emas berenam untuk gelaran Sukan SEA kali kedua.
Janjua merupakan pengurus dan mentor pasukan nasional untuk kempen itu.
Suruhanjaya Keselamatan Sukan menyatakan bahawa siasatan rasmi terhadap kelakuannya bermula pada Oktober 2024 dan berakhir pada Februari 2025.
Pada Mac 2025, jawatankuasa disiplin yang dilantik oleh pengerusi panel disiplin Safe Sport telah diadakan untuk menyemak semua bukti, termasuk mendengar keterangan daripada Janjua.
Ketika dihubungi sebelum ini, Presiden SCA, Mahmood Gaznavi, mengesahkan sekatan itu, dan menambah bahawa persatuan sukan nasional tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap Janjua dan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg