Southampton telah memecat pengurusnya, Russell Martin, selepas pasukan itu dibelasah Tottenham Hotspur 5-0 pada 15 Disember, menyebabkan mereka ketinggalan sembilan mata daripada zon relegasi Liga Perdana England (EPL).
Martin, 38 tahun, membimbing pasukan The Saints ke EPL dalam musim pertamanya sebagai pengurus Southampton, setelah menewaskan Leeds United dalam perlawanan akhir play-off di Stadium Wembley.
Tetapi kekalahan menentang Spurs adalah yang ke-13 bagi Southampton dalam 16 perlawanan liga.
Gol-gol Spurs dijaringkan James Maddison, Son Heung-Min, Dejan Kulusevski dan Pape Sarr.
Satu-satunya kemenangan Southampton musim ini ialah menentang Everton pada November.
Enzo Maresca sekali lagi mengetepikan perbincangan mengenai peluang pasukannya memenangi kejuaraan Liga Perdana selepas pasukannya, Chelsea, mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan menentang Brentford pada 15 Disember.
Kemenangan 2-1 The Blues menentang Brentford memacu mereka ke tangga kedua liga, hanya dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.
“Ia bukan tentang berapa banyak perlawanan yang kami menangi. Ini tentang bersikap realistik,” kata Maresca.
“Para penyokong boleh bermimpi. Namun, hakikatnya ada perkara yang perlu kami lakukan dengan lebih baik. Sebab itu saya kata, bagi saya, kami belum bersedia,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg