Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekilas suka duka pertembungan lalu skuad bola sepak S’pura-Indonesia
Ada kalanya berapi, kadang kala menggembirakan dan ada juga yang mengecewakan - aksi antara Singapura dengan Indonesia sering menjanjikan pertempuran hebat. Menjelang perlawanan pertama Piala Asean Fifa antara kedua-dua negara di Stadium Gelora Bung Karno pada 25 September, Berita Harian (BH) menyelusuri pertembungan antara dua negara Asean itu sebelum ini.
Sekilas suka duka pertembungan lalu skuad bola sepak S’pura-Indonesia
Piala Merlion 1983
(S’pura 5 Indonesia 0)
Pada edisi kedua Piala Merlion (1983), Singapura diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan Bawah 23 tahun, Brunei dan Indonesia.
Skuad Singa membelasah Indonesia 5-0 dalam perlawanan pembukaan di Stadium Negara – menjadi titik permulaan cemerlang buat skuad nasional yang akhirnya muncul naib juara kejohanan tersebut.
Gol dihasilkan oleh Razali Rashid (dua gol), Au-yeong Pak Kuan, V. Sundramoorthy, dan Tahir Bujang.
Biarpun dikepung pasukan gergasi seperti China dan Australia, Singapura membuktikan kewibawaan mereka dengan merangkul pingat perak kejohanan selepas tewas 2-4 di tangan Australia pada aksi final.
Keputusan: Singapura 5 - 0 Indonesia
Separuh akhir Sukan SEA 1991
(S’pura 2 Indonesia 4, babak sepakan penalti)
Selepas terlepas peluang merangkul pingat emas pada Sukan SEA 1989 akibat kekalahan 1-3 kepada Malaysia, Singapura sekali lagi berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan tersebut.
Skuad Singa perlu melepasi tembok kukuh Indonesia pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Stadium Rizal Memorial, Manila, pada 2 Disember 1991.
Dengan pertaruhan pemain tunjang seperti Fandi Ahmad, V. Sundramoorthy, dan Hasnim Haron yang dibawa dari skuad 1989, Singapura mempunyai peluang cerah untuk mengulangi pencapaian mara ke perlawanan akhir.
Namun, selepas pertarungan sengit tanpa sebarang gol selama 120 minit, Singapura akhirnya tewas 2-4 kepada Indonesia menerusi babak sepakan penalti yang mendebarkan.
Indonesia seterusnya mara untuk merangkul pingat emas, manakala Singapura membawa pulang pingat gangsa.
Keputusan: Singapura 2 - 4 Indonesia (sepakan penalti)
Separuh akhir Piala Asean AFF 1998
(S’pura 2 Indonesia 1)
Walau perlawanan yang berlangsung di Stadium Ho Chi Minh pada 3 September 1998 sangat sengit, kepentingannya sebahagian besarnya terletak pada peristiwa yang berlaku sejurus sebelum perlawanan itu.
Pada perlawanan akhir peringkat kumpulan A, Indonesia dan Thailand bertanding dalam perlawanan yang kontroversi apabila kedua-dua pasukan cuba untuk kalah bagi mengelakkan pertemuan dengan tuan rumah, Vietnam, di peringkat separuh akhir.
Indonesia sengaja menjaringkan gol sendiri untuk kalah, sekali gus “memenangi” laluan untuk menentang Singapura yang mereka anggap sebagai pasukan yang lebih lemah.
Tidak ingin dipandang rendah, Singapura menewaskan Indonesia 2-1 di separuh akhir untuk ke final. Dalam pertarungan akhir, Singa mengatasi Vietnam 1-0 untuk menjulang kejuaraan antarabangsa pertama mereka.
Keputusan: Singapura 2 - 1 Indonesia
Final Piala Asean AFF 2004
(S’pura atasi Indonesia agregat 5-2)
Perlawanan akhir dua pusingan itu dianggap sebagai pertembungan paling penting dalam sejarah bola sepak kedua-dua negara, yang menandakan era kegemilangan bola sepak Singapura di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Radojko Avramovic.
Di perlawanan akhir pertama pada 8 Januari 2005, Singapura menang 3-1 ke atas Indonesia, hasil jaringan Khairul Amri, Agu Casmir dan Daniel Bennett, walau bermain di hadapan sorakan gempita dan penuh semangat penyokong di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Di perlawanan kedua yang berlangsung di hadapan 55,000 penyokong di Stadium Negara di Kallang pada 16 Januari 2005, Singapura melengkapkan tugas mereka dengan kemenangan 2-1 (agregat 5-2), hasil jaringan Indra Shahdan dan Agu Casmir.
Ia sekali gus merangsang sambutan hebat di stadium apabila kapten Aide Iskandar menjulang trofi kejuaraan.
Keputusan: Singapura 2 - 1 Indonesia (Agregat: 5-2)
Peringkat kumpulan Piala Asean AFF 2007
(S’pura 2 Indonesia 2)
Peminat bola sepak setempat pasti mengingati kejohanan 2007 apabila Singapura melakar sejarah membaham Laos 11-0.
Namun, pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, saingan untuk mara ke separuh akhir kekal terbuka luas apabila Singapura dan Indonesia berkongsi empat mata, manakala Vietnam mengekori rapat dengan dua mata.
Situasi itu menjadikan pertembungan klasik di Stadium Nasional pada 17 Januari 2007 mendebarkan dengan Singapura mendahului sebanyak dua kali, namun skuad Indonesia bangkit mengejar.
Anak didik Avramovic akhirnya berjaya bertahan untuk meraih satu mata berharga menerusi keputusan seri 2-2.
Mata penting itu membolehkan Singapura mara ke pusingan kalah mati berbekalkan kelebihan perbezaan gol, sebelum meneruskan kemaraan hingga menjulang kejuaraan pada edisi tersebut.
Keputusan: Singapura 2 - 2 Indonesia
Perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2020:
Salah satu perlawanan paling huru-hara, penuh emosi dan memilukan dalam sejarah bola sepak Singapura.
Selepas terikat 1-1 pada separuh akhir pertama, perlawanan kedua di Stadium Nasional pada 25 Disember 2021 menjadi penuh emosi.
Singapura mengakhiri perlawanan dengan lapan pemain selepas menerima tiga kad merah (Safuwan Baharudin, Irfan Fandi, dan penjaga gol, Hassan Sunny).
Sebelum Hassan dilayangkan kad merah pada minit ke-119, pemain Singapura berjaya mendahului 2–1, hingga minit ke-87 apabila Indonesia berjaya menyamakan kedudukan.
Peluang keemasan anak didik Tatsuma Yoshida untuk mengesahkan kemenangan lebur apabila sepakan penalti Faris Ramli pada minit ke-90 berjaya diselamatkan.
Indonesia akhirnya memanfaatkan kelebihan jumlah pemain pada masa tambahan untuk menang 4–2 (5–3 secara agregat).
Keputusan: Indonesia 4 – 2 Singapura (Agregat: 5-3)