LONDON: Musim bola sepak 2024-25 di United Kingdom (UK) menyaksikan peningkatan laporan berkaitan seksisme, transphobia (perasaan takut, benci atau prejudis terhadap transjantina atau terhadap mereka yang tidak mematuhi konsep jantina).
Badan amal antidiskriminasi dan inklusiviti berpangkalan di UK, Kick It Out, turut melaporkan peningkatan penghinaan berasaskan agama.
Dalam satu kenyataan, Kick It Out berkata pihaknya menerima 1,398 laporan penderaan, yang meningkat daripada 1,332 laporan pada musim lalu.
Menurut kenyataan itu, laporan-laporan tersebut datang daripada individu yang mendakwa mereka mengalami atau menyaksikan diskriminasi dalam talian, di peringkat akar umbi, liga bukan profesional, atau dalam perlawanan profesional.
Badan amal tersebut, bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti pelaku.
Seksisme dan prasangka buruk terhadap wanita meningkat sebanyak 67 peratus, manakala penghinaan berasaskan agama turut menunjukkan peningkatan ketara, tambah Kick It Out, yang menggabungkan insiden daripada bola sepak profesional, akar umbi kepada media sosial.
Laporan mengenai insiden perkauman dalam bola sepak profesional meningkat daripada 223 kepada 245, walaupun terdapat penurunan dalam jumlah keseluruhan laporan perkauman di semua peringkat permainan.
“Tiada siapa sepatutnya menghadapi permusuhan hanya kerana menyertai permainan.
“Angka-angka ini menunjukkan bahawa diskriminasi masih berakar umbi dalam bola sepak dan peningkatan kes penderaan dalam bola sepak remaja sepatutnya menjadi satu amaran,” kata Ketua Eksekutif Kick It Out, Encik Samuel Okafor, dalam satu kenyataan pada 5 Ogos.
“Apa yang kita lihat sekarang ialah peminat bukan sahaja melaporkan penderaan, bahkan menuntut tindakan.
“Musim ini jelas menunjukkan perubahan dalam cara orang berhadapan dengan tingkah laku seksis, sama ada dalam talian atau di stadium dan meminta sukan bola sepak untuk mengambilnya dengan serius seperti mana-mana bentuk kebencian yang lain.
“Pada masa yang sama, jelas bahawa platform dalam talian masih gagal menangani isu ini. Jumlah penderaan masih tinggi, terlalu kerap dan pelaku tidak menghadapi sebarang akibat,” tambah Encik Okafor. – REUTERS/AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg