Setelah lapan tahun membina nama di luar negara, ketua jurulatih kelab Liga Super Malaysia (MSL), Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, meluahkan hasrat dan kesediaannya untuk pulang ke Singapura dan memimpin skuad kebangsaan Singapura, sekiranya diberi peluang.
Jurulatih berusia 48 tahun itu memberitahu Berita Minggu (BM) beliau sudah lama mengikuti perjalanan pasukan Singa dan percaya sudah tiba masanya beliau menyumbang semula kepada negara.
Jika menjadi kenyataan, beliau akan mengikut jejak bekas pemain dan jurulatih Singapura, Fandi Ahmad dan V Sundramoorthy.
“Saya masih mengikuti perkembangan Liga Perdana Singapura (SPL) dan pasukan kebangsaan dengan rapat agar saya kenal pemain-pemain baru. Saya tonton perlawanan apabila ada peluang; kadang-kadang hadir ke Stadium Negara secara senyap-senyap apabila saya pulang,” kata Aidil.
Rekod Aidil sebagai jurulatih disokong oleh pencapaian cemerlang.
Kini sebagai ketua jurulatih Kuching City, beliau telah dinamakan antara tiga calon terbaik bagi kategori Jurulatih Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025, anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Beliau disenarai seiring jurulatih ternama seperti Hector Bidoglio dari Johor Darul Ta’zim dan Kinoshi Katsuhito dari Selangor FC.
Melihat ruang komen di Facebook MFL, ramai menyokong pencalonan Aidil, dan menyatakan beliau memang layak mendapatkan anugerah itu walaupun mereka tidak menyokong Kuching City.
Aidil dicalonkan untuk anugerah tersebut hasil musim yang mengagumkan bersama Kuching City, pasukan yang sebelum ini berdepan dengan risiko penyingkiran daripada MSL.
Beliau mengambil alih pasukan pada penghujung 2023 dan melakukan perubahan besar dengan menstruktur semula 90 peratus skuad, termasuk kesemua pemain import.
Di bawah bimbingannya, Kuching kini berada di tangga keempat MSL, jauh mengatasi sasaran awal mereka untuk berada dalam golongan pasukan lapan teratas musim ini.
“Alhamdulillah, para pemain cepat serasi, keharmonian pasukan sangat baik, dan keputusan turut menyusul. Pencalonan ini bukan milik saya seorang. Ia hasil usaha satu pasukan – dari pemain hingga ke pihak pengurusan,” kata beliau.
Perjalanan kejurulatihan Aidil bermula di Singapura pada 2012 bersama Home United, yang kini dikenali sebagai Lion City Sailors.
Beliau merupakan penolong jurulatih kepada Lee Lim-saeng dan kemudian Philippe Aw sehingga 2016, sebelum beliau dijadikan ketua jurulatih.
Aidil berjaya membimbing Home United ke peringkat akhir zon Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2017.
Pada musim seterusnya beliau membimbing Home ke tangga kedua Liga Singapura, kini dikenali sebagai Liga Perdana Singapura (SPL), dan juga berjaya ke peringkat separuh akhir zon Piala AFC 2018.
Kejayaan itu menarik minat beberapa kelab Malaysia, dan akhirnya beliau memilih untuk menyertai pasukan MSL, Kedah Darul Aman FC, pada Oktober 2018.
Sepanjang empat tahun sebagai ketua jurulatih, Aidil membimbing Kedah meraih beberapa pencapaian membanggakan, termasuk menjuarai Piala FA Malaysia 2019, muncul naib juara Piala Malaysia 2019, serta menamatkan saingan sebagai naib juara MSL bagi musim 2020 dan 2021.
Pada 2020, Aidil mencipta sejarah apabila menjadi ketua jurulatih pertama dari Singapura yang mengendalikan pasukan bukan dari negara asalnya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC.
Di bawah bimbingannya, Kedah layak ke pusingan ‘play-off’ dan berdepan pasukan gergasi Korea Selatan, FC Seoul.
Walaupun tewas 4 –1 di Stadium Seoul, pencapaian itu menjadi detik bersejarah buat Aidil dan pasukannya.
Pada 2023 , Aidil menyahut cabaran membimbing pasukan Liga 1 Indonesia pula, Persikabo 1973.
Pelantikan ini bermakna beliau menjadi rakyat Singapura pertama yang membimbing kelab Indonesia sejak Fandi Ahmad melakukannya bersama Pelita Jaya dari 2006 hingga 2010.
Kemudian, Aidil kembali ke MSL bersama Kuching City pada penghujung musim MSL dengan Kuching pada masa itu sedang mengalami 17 perlawanan tanpa kemenangan.
Apabila ditanya mengapa beliau memilih menjadi jurulatih di luar negara, Aidil berkata beliau mahu mencabar dirinya sebagai jurulatih di luar negara.
“Setiap jurulatih mahu menguji kemahiran mereka dalam persekitaran yang berbeza. Saya juga ingin mempelajari budaya baru dan bagaimana kelab diuruskan di luar negara,” kata beliau.
Menurut Aidil, banyak perkara yang telah dipelajari sepanjang masanya mengasah kemahirannya di luar negara.
Antara yang ditekankan ialah tekanan serta jangkaan besar daripada pihak pengurusan.
“Di Malaysia, tekanan jauh lebih tinggi. Di Singapura, anda masih boleh mengekalkan jawatan walaupun tewas beberapa perlawanan. Tetapi di Malaysia, tewas tiga atau empat kali saja sudah boleh menyebabkan anda dipecat,” kata Aidil.
Beliau juga berkata bahawa pihak pengurusan kelab di luar negara terlibat aktif dalam perkembangan pasukannya, dan ingin mendapatkan maklumat terkini tentang pemain mereka hampir setiap minggu.
“Bagi saya, itu satu perkara yang baik. Ia memastikan semua pihak sentiasa berwaspada dan fokus. Di Kuching, pihak pengurusan hadir ke sesi latihan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” kata jurulatih itu.
Dengan pengalaman mendalam ini, semangat Aidil membakar dan berkobar-kobar untuk menyumbang kepada bola sepak Singapura.
Beliau juga menekankan kepentingan mengenali pemain agar mereka dapat berikan pemain semangat tambahan untuk beraksi.
“Sasaran saya adalah untuk melatih pasukan kebangsaan Singapura. Saya rasa saya sudah bersedia, dan saya juga pernah melatih ramai pemain semasa mereka di peringkat kelab – seperti Hariss Harun, Irfan Najeeb dan ramai lagi.”
“Saya cintakan bola sepak Singapura, dan saya harap saya dapat menyumbang sekali lagi pada masa hadapan. Ini negara saya, dan saya akan sentiasa menyokong dan mengikuti perkembangannya,” ujar Aidil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg