Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertandingan futsal jalinkan ikatan antara masyarakat
Pertandingan futsal jalinkan ikatan antara masyarakat
Piala Unity anjuran bersama empat badan bantu diri selama dua hari bagi bina keyakinan diri, semangat inklusif
Pertandingan futsal jalinkan ikatan antara masyarakat
Futsal bukan sekadar membantu kekal cergas, malah merupakan peluang untuk bergaul dan berjumpa dengan orang lain.
Begitulah yang dikongsi Muhammad Daniyal Aneeq, 13 tahun, salah seorang peserta perlawanan futsal Piala Unity 2026 yang berakhir pada 23 Jun.
Pelajar menengah satu di Sekolah Menengah Hougang itu tidak teragak-agak untuk menyertai pertandingan tersebut apabila mendapat tahu tentang perlawanan futsal itu yang melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang.
“Piala Unity 2026 adalah suatu peluang yang baik untuk saya kekal aktif dan menjalin rakan baru daripada latar belakang yang pelbagai,” katanya yang telah merangkul kedudukan kelima dalam perlawanan tersebut.
“Saya berharap lebih banyak perlawanan seperti ini dapat dianjurkan,” tambahnya.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), pemain bola sepak di sekolah dan ActiveSG itu juga berkata antara nilai yang dipelajari selama program dua hari itu adalah kerja berpasukan, satu nilai penting dalam futsal.
Perlawanan futsal itu telah dianjurkan empat badan bantu diri merangkumi Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dan Persatuan Serani (EA) untuk menyatukan pelajar daripada pelbagai latar belakang bagi satu minat iaitu bola sepak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, perlawanan seperti itu diharapkan dapat membina keyakinan diri peserta dan memberikan mereka peluang untuk berinteraksi dengan peserta lain yang mempunyai latar belakang berbeza.
“Sukan merupakan kegiatan yang baik untuk menyatukan golongan muda kita dan menyerlahkan potensi mereka,” ujar beliau.
Perlawanan tersebut telah berlangsung selama dua hari dengan peserta berlatih dan menyertai kegiatan kebersamaan pada hari pertama.
Pada hari kedua, peserta memulakan perlawanan persahabatan dalam format ‘round robin’ (melawan setiap pasukan) di gelanggang futsal Kick Off! yang terletak di Kovan.
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, turut hadir sebagai tetamu kehormat bagi pertandingan itu.
“Kerjasama erat antara empat badan bantu diri dalam menyediakan peluang bagi kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, menjalinkan persahabatan serta memupuk nilai-nilai seperti kerjasama, daya tahan dan saling menghormati melalui sukan, adalah sesuatu yang menggalakkan,” ujar Encik Dinesh.
“Pengalaman seperti ini dapat mengukuhkan persefahaman, memupuk sikap inklusif dan perpaduan antara masyarakat dari usia yang muda lagi.”
Piala Unity 2026, yang berlangsung untuk tahun kelima, telah menarik seramai 80 peserta berusia 6 hingga 13 tahun.
“Program ini sangat bermanfaat buat anak saya kerana dia berpeluang bergaul dan belajar daripada kanak-kanak lain yang mempunyai pelbagai tahap kemahiran, untuk mempertingkatkan dirinya,” kata Cik Rosliani Roselan, 43 tahun, ibu kepada seorang lagi peserta, Omar Khairudin, 10 tahun, daripada Sekolah Rendah Waterway.
“Saya berasa amat teruja apabila Omar ceritakan bahawa dia telah mempelajari kemahiran bola sepak baru dan telah menemui rakan baru semasa hari pertama program ini,” tambahnya.
“Program seperti ini yang mudah diakses masyarakat amat bermanfaat kerana menggalakkan pergaulan antara kanak-kanak dan juga mengisi masa lapang mereka pada cuti sekolah ini.”
