Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Senegal tewaskan Botswana, Nigeria menang tipis lawan Tanzania

Dec 24, 2025 | 2:48 PM
Afcon 2025, Nigeria, Tanzania, Morocco
Pemain pertahanan Nigeria, Semi Ajayi (dua dari kiri), menjaringkan gol di depan penjaga gawang Tanzania, Zuberi Foba (dua dari kanan), dalam perlawanan Kumpulan C Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) antara Nigeria dan Tanzania di Stadium Fez, Fes, Maghribi, pada 23 Disember. - Foto AFP

TANGIER (Maghribi): Pemain penyerang, Nicolas Jackson, menjaringkan dua gol apabila Senegal memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025 dengan kemenangan besar 3-0 ke atas Botswana dalam Kumpulan D di Tangier, Maghribi, pada 23 Disember.

Jackson menjaringkan hantaran rendah Ismail Jakobs untuk meletakkan Senegal di depan pada minit ke-40, menewaskan penentangan keras Botswana, sebelum menjaringkan gol kedua dari hantaran Ismaila Sarr sejurus sebelum permainan mencapai masa sejam.

Senegal, juara Afcon edisi 2021 dan antara pasukan pilihan kali ini, memberi saingan hebat kepada pihak lawan dengan serangan bertubi-tubi.

Ia turut berjaya menjaringkan gol ketiga lewat perlawanan melalui Cherif Ndiaye, salah satu daripada 28 percubaan ke arah gol Botswana.

Senegal mendahului Kumpulan D hasil perbezaan gol dengan Republik Demokratik Congo selepas pusingan pertama.

Republik Demokratik Congo menewaskan Benin 1-0 pada 23 Disember.

Senegal terlepas beberapa peluang untuk menang dengan jaringan lebih besar, serta turut dihalang oleh aksi cemerlang penjaga gol Botswana, Goitseone Phoko.

Jackson, yang dipinjamkan kepada Bayern Munich daripada Chelsea musim ini, telah menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan untuk Senegal, setelah hanya menjaringkan satu gol dalam 20 perlawanan sebelum ini.

Senegal memberi tekanan kepada Botswana sejak awal permainan, namun ketika hujan turun pada separuh pertama, pesaing mereka membina benteng pertahanan yang sukar ditembusi.

Benteng itu akhirnya musnah apabila hantaran rendah Jakobs dari sebelah kiri terbukti tepat bagi Jackson menyepak masuk bola ke gawang, meninggalkan penjaga gol, Phoko, tanpa peluang menyelamatkan gol tersebut.

Separuh kedua menyaksikan corak permainan yang sama apabila Senegal terus menguasai perlawanan. 

Ketika Sarr menghantar bola kepada Jackson dari jarak dekat, penyerang itu mengawal bola dengan baik meskipun menghadapi tekanan daripada beberapa pemain lawan, sebelum menamatkan serangan dengan jaringan kemas.

Jackson sepatutnya dapat menjaringkan hatrik apabila beliau mewujudkan ruang untuk membuat sepakan dari luar kotak penalti, namun bola terbang melepasi palang gol.

Senegal akhirnya menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Ndiaye, menerima hantaran Cheikh Sabaly di dalam kotak penalti dan membuat jaringan sempurna.

Pemain sayap Nigeria, Ademola Lookman, menjaringkan gol kemenangan pada separuh kedua untuk membantu pasukannya menewaskan Tanzania 2-1 dalam hujan lebat di Fes, pada 23 Disember.

Kemenangan ini memberi permulaan baik kepada pasukan yang meraih piala perak dalam Afcon edisi 2023, namun perlawanan ini tetap menyaksikan beberapa detik penuh aksi.

Nigeria lebih menguasai perlawanan daripada yang ditunjukkan oleh keputusan akhir, dari segi penguasaan bola dan peluang gol.

Namun, mereka gagal menamatkan perlawanan dengan jurang mata lebih besar dan hampir ditewaskan oleh pasukan lawan kerana melepaskan peluang menjaringkan gol.

Semi Ajayi meletakkan Nigeria di depan pada separuh pertama sebelum Charles M’Mombwa menyamakan kedudukan lima minit selepas separuh masa. 

Malangnya, kegembiraan Tanzania hanya bertahan selama dua minit apabila Lookman membuat sepakan gol kemenangan dari luar kotak penalti.

Afcon berlangsung di Maghribi dari 21 Disember 2025 hingga 18 Januari 2026. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg