Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penalti Mahrez bawa Algeria ke pusingan 16 terakhir

Dec 29, 2025 | 1:21 PM
riyad mahrez, algeria, Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025
Pemain Algeria, Riyad Mahrez, menjaringkan gol pertama pasukannya menerusi sepakan penalti. Algeria menang 1-0 ke atas Burkina Faso dalam perlawanan Kumpulan E yang diadakan di di Rabat, Maghribi pada 28 Disember. - Foto REUTERS

RABAT (Maghribi): Riyad Mahrez menjaringkan sepakan penalti pada separuh masa pertama, lantas membantu Algeria mendapat tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025 dengan kemenangan 1-0 ke atas Burkina Faso dalam perlawanan Kumpulan E di Rabat pada 28 Disember.

Algeria kini mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan Kumpulan E tanpa bolos dan kini mendahului Burkina Faso dan Sudan.

Burkina Faso dan Sudan masing-masing mengumpul tiga mata dan akan bertemu pada aksi terakhir peringkat kumpulan pada 31 Disember.

Manakala Algeria bakal berdepan pasukan tercorot Kumpulan E, Equatorial Guinea, yang telah tersingkir.

Algeria diberi sepakan penalti sejurus selepas minit ke-20 apabila Rayan Ait Nouri dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Ismahila Ouedraogo. 

Mahrez tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan menjaringkan gol, memperdayakan penjaga gol Burkina Faso, Herve Koffi, ke arah yang salah.

Mahrez terus mengukuhkan rekodnya sebagai penjaring terbanyak Algeria di Afcon dengan gol kesembilannya, selain muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini, selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan pembukaan 3-0 ke atas Sudan.

Burkina Faso hampir menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat separuh masa apabila tandukan jarak dekat Pierre Kabore terkena tiang gol. 

Koffi bertindak cemerlang untuk menggagalkan percubaan Mohamed Amoura, sebelum Ibrahim Maza mensia-siakan peluang keemasan apabila rembatannya tersasar jauh dari sasaran.

Di hujung perlawanan, anak kepada legenda bola sepak Perancis Zinedine Zidane, Luca Zidane, menunjukkan reaksi pantas untuk menepis tandukan Lassina Traore ketika Burkina Faso hampir memperoleh gol penyamaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg