STUTTGART (Jerman): Jaringan, Mikel Merino, pada saat-saat akhir masa tambahan memberikan Sepanyol kemenangan dramatik 2-1 ke atas tuan rumah Jerman, dalam pertembungan suku akhir Euro 2024 yang memukau pada 6 Julai, melibatkan dua pasukan negara paling berjaya dalam kejohanan itu.
Perlawanan itu memasuki minit ke-119 dan kelihatan siap untuk penentuan sepakan penalti, apabila pemain gantian, Merino, bangkit untuk menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran lintang, Dani Olmo.
Ternyata percubaan tandukannya itu membolosi gawang Jerman dan menjadi penentu kemenangan Sepanyol ke atas pasukan lawan mereka itu dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Stuttgart.
Suasana stadium berubah menjadi riuh-rendah dengan sorakan para peminat Sepanyol.
Jika dilihat, Sepanyol adalah pasukan yang lebih baik dalam tempoh sejam pertama, namun mensia-siakan beberapa peluang sebelum Olmo melakukan jaringan pertama buat pasukan itu, pada minit ke-51.
Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, melakukan lima pertukaran, dalam usaha terdesak untuk mencari gol penyamaan.
Ternyata ia membuahkan hasil pada minit ke-89, apabila pemain gantiannya, Florian Wirtz, yang juga pemain terbaik Bundesliga 2024 bagi kelab Bayer Leverkusen, membuat rembatan selepas bola ditanduk rakan sepasukannya, Joshua Kimmich untuk memaksa perlawanan masuk masa tambahan.
Bagaimanapun, Sepanyol menemui rentak yang diperlukan untuk menang perlawanan itu sedang Jerman ketandusan idea untuk membolosi pertahanan Sepanyol.
Malah Jerman kelihatan kurang menyerlah untuk melakukan jaringan dalam perlawanan tersebut.
Jerman bekerja keras untuk menyamakan kedudukan dalam minit-minit terakhir, dan pemain bek Sepanyol, Dani Carvajal, dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-125, kerana mengasari Jamal Musiala.
Carvajal dan pemain bek tengah Jerman, Robin Le Normand, kini akan terlepas peluang bermain dalam separuh akhir, apabila pasukan itu menentang Perancis pada 10 Julai.
Terdapat 38 kekasaran dalam perlawanan antara Sepanyol dengan Jerman, dan 13 kad kuning dilayangkan, ketika pengadil, Anthony Taylor, berusaha untuk menenangkan keadaan.
Ketegangan memuncak seawal minit pertama, berikutan kekasaran yang dilakukan pemain tengah Jerman, Toni Kroos, ke atas Pedri yang terpaksa meninggalkan padang dengan air mata selepas mengalami kecederaan ligamen pada lutut kirinya, lapor FA Sepanyol.
Kecederaan Pedri memaksa pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente, melakukan pertukaran awal, membawa masuk Olmo, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan itu dengan satu gol dan satu assist (pembuka laluan), dari bangku simpanan.
“Saya sangat bangga. Ternyata kami pasukan yang hebat! Alangkah gembiranya! Tetapi ia bukan tentang saya, ia benar-benar kejohanan untuk semua. Yang penting kami bermain sebagai satu pasukan,” kata Olmo kepada media.
“Kami harap kecederaan Pedri hanya seketika kerana beliau dianggap seorang pemain penting. Kemenangan ini adalah untuknya. Hati sentiasa lebih penting daripada kaki.”
Pada separuh masa pertama, Sepanyol mempunyai hampir tiga kali ganda jumlah percubaan menjaringkan gol, berbanding Jerman dan mereka terus mengekalkan tekanan selepas rehat, dengan percubaan, Alvaro Morata, dari jarak dekat tersasar sedikit dari gawang lawan, pada minit ke-47.
Bagaimanapun, selepas mendahului empat minit kemudian, Sepanyol membiarkan Jerman mengawal, dengan skuad kendalian Nagelsmann itu berharap untuk menamatkan rekod tanpa kemenangan pada kejohanan menentang Sepanyol yang bermula sejak 1988.
Kai Havertz terlepas peluang keemasan pada minit ke-82. Namun daya tahan Jerman membuahkan hasil apabila percubaan Wirtz menemui sasaran gol.
Jerman yang mendapat sorakan penyokong sendiri terlepas beberapa peluang dan harapan mereka untuk mara ke separuh akhir akhirnya musnah apabila Merino memanfaatkan bola yang menuju ke arahnya sebelum beliau menanduknya masuk ke gawang lawan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg