Topik diikuti
Pergi ke BHkuSepanyol rai kejayaan Piala Dunia dengan perarakan meriah
Sepanyol rai kejayaan Piala Dunia dengan perarakan meriah
Jutaan peminat hadir di Madrid untuk sambut pasukan negara
Sepanyol rai kejayaan Piala Dunia dengan perarakan meriah
MADRID: Juara baharu Piala Dunia, Sepanyol, menikmati satu perarakan sambutan yang meriah menaiki bas terbuka di Madrid pada petang 20 Julai (waktu tempatan).
Sekitar dua juta orang keluar untuk meraikan detik tersebut, menurut pihak berkuasa setempat.
Para pemain memulakan perarakan mereka di bawah cuaca panas terik, menyusuri jalan-jalan utama di pusat bandar di mana lautan peminat berbaju merah dan kuning menanti, sebelum tiba di Dataran Cibeles di mana mereka naik ke pentas dan berpesta sehingga malam.
Pasukan dan jurulatih, Luis de la Fuente, diperkenalkan seorang demi seorang kepada peminat, masing-masing dengan pilihan muzik sendiri yang mereka nyanyikan bersama-sama, sambil memakai baju ‘We are champions’ (Kami juara).
“(Sepanyol) menunjukkan kepada dunia erti bekerjasama, dengan satu fikiran dan satu hati,” kata bintang pop, Shakira, dalam satu mesej video yang dimainkan kepada pasukan dan orang ramai.
De la Fuente turut menyampaikan mesej yang serupa, memuji pemainnya sebagai “terbaik di dunia” dan memberitahu peminat supaya tidak lupa bahawa “bersama-sama kita lebih kuat”.
Para pemain dan staf bergambar bersama sebelum kapten Rodri sekali lagi mengangkat trofi itu, sama seperti yang dilakukannya pada 20 Julai (waktu Singapura) selepas Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dalam masa tambahan di New Jersey untuk dinobatkan sebagai juara.
Jaringan Ferran Torres dalam masa tambahan sudah cukup untuk membawa Sepanyol meraih Piala Dunia kedua mereka, susulan kemenangan pertama pada 2010.
Selepas pulang ke Madrid, para pemain disambut oleh Raja Felipe VI dan keluarga diraja, dan kemudian Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, sebelum memulakan perarakan itu.
Para pemain memegang trofi Piala Dunia yang berkilauan sambil melambai kepada penyokong mereka yang penuh kekaguman – ada yang berbaris di balkoni, ada pula di atas perhentian bas.
“Anda telah menunjukkan ketabahan, daya tahan dan keberanian anda... menggabungkan akal dan hati,” kata Raja Felipe kepada bintang La Roja (nama gelaran bagi pasukan Sepanyol), yang berpakaian sut tetapi bertukar kepada pakaian lebih santai untuk perarakan mereka.
Rodri menjulang trofi Piala Dunia di puncak tangga ketika beliau menuruni tangga pesawat Iberia yang membawa pasukan itu pulang selepas merangkul kemenangan kedua mereka.
Pemain tengah Manchester City itu berkata ia merupakan pencapaian kemuncak kerjayanya.
“Saya selalu berkata begini, memenangi sesuatu untuk negara anda adalah perkara paling indah yang ada, lebih-lebih lagi Piala Dunia,” kata Rodri.
“Generasi ini membesar menonton (Iker) Casillas dan (Andres) Iniesta mengangkat piala itu, dan kini kami dapat melakukannya. Ia adalah perkara terbesar yang boleh dicapai dalam bola sepak,” tambahnya.
Ramai penyokong yang lebih muda belum lagi dilahirkan ketika gol masa tambahan Iniesta menentang Belanda memastikan kemenangan Piala Dunia pertama Sepanyol di Afrika Selatan 16 tahun lalu.
“Saya sangat gembira dengan trofi kedua yang diraih Sepanyol, sungguh menggembirakan,” kata seorang pelajar berusia 14 tahun, Hector Mollar, yang berkata dia dapat melihat Torres, Lamine Yamal dan Mikel Merino ketika perarakan bas itu melalui kawasannya.
Ia “sangat berbeza” untuk mengalami sendiri hari seperti ini berbanding hanya mendengar orang lain menceritakannya, tambah Hector. – Agensi berita.
