Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serena ‘bimbing’ Venus, Fernandez mara ke suku akhir Terbuka AS

Sep 2, 2025 | 4:54 PM
Venus Williams melakukan hantaran voli di depan rakannya  Leylah Fernandez ketika mereka  menentang Ekaterina Alexandrova dan Shuai Zhang pada hari kesembilan kejohanan tenis Terbuka Amerika 2025 di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King di New York.
Venus Williams melakukan hantaran voli di depan rakannya Leylah Fernandez ketika mereka menentang Ekaterina Alexandrova dan Shuai Zhang pada hari kesembilan kejohanan tenis Terbuka Amerika 2025 di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King di New York. - Foto: REUTERS

NEW YORK: Serena Williams mungkin tidak akan bertanding lagi dalam Terbuka Amerika Syarikat, tetapi kehadirannya cukup terasa pada 1 September, dengan Venus Williams mendedahkan adiknya telah membimbingnya dari jauh ketika beliau dan Leylah Fernandez melangkah ke suku akhir acara beregu.

Venus dan Fernandez mencatat kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pilihan ke-12, Ekaterina Alexandrova dan Zhang Shuai, yang membolehkan pemain veteran Amerika itu memenangi pertandingan suku akhir acara beregu utama pertamanya sejak 2016.

Kejayaan tersebut merupakan satu lagi pencapaian tidak dijangka oleh pemain berusia 45 tahun itu dan pasangannya yang berusia 22 tahun dari Canada.

Ia adalah malam yang menggabungkan nostalgia dengan tenaga segar, kerana Venus, yang telah memenangi 14 kejuaraan beregu bersama Serena, kini mencipta lembaran baru dengan Fernandez, malah secara berseloroh meminta kehadiran adiknya di Flushing Meadows.

“Beliau memberi saya kata-kata penuh semangat hari ini tetapi sangat gementar menonton dan beliau membuat anak-anaknya menjerit nama saya.

“Serena sangat gembira melihat Leylah dan saya dan sempat memberi nasihat kepada kami. Mesej saya kepadanya, Serena, anda perlu hadir,” kata Venus.

Para penonton di Stadium Louis Armstrong memberi sorakan sepanjang perlawanan, sekali gus memberi semangat kepada pemain veteran Amerika itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Serena, bekas bintang tenis terkemuka Amerika, telah mengubah keutamaan dalam hala tuju kehidupannya.

Meskipun giat dalam perniagaan selaku seorang usahawan, Serena mendedahkan bahawa selepas 25 tahun mengecapi kejayaan dalam dunia sukan, beliau kini menumpukan perhatian kepada keluarganya dengan menjadi ibu yang baik selain membangunkan perniagaannya.

Di sebalik sorakan orang ramai, Venus mendedahkan bahawa kata-kata perangsang adiknya paling jelas di telinganya.

“Beliau melatih dari jauh dengan memberi saya kata-kata bersemangat dan memastikan akan menghubungi saya hari ini,” kata Venus lagi.

Fernandez menambah sambil berseloroh: “Kemungkinan besar, jika beliau datang, kami mungkin membulinya.”

Williams dan Fernandez seterusnya dijadual menentang pilihan utama Katerina Siniakova dan Taylor Townsend. – Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg