Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baru cuba satu stesen Hyrox, lutut dah ‘lembik’...

Wartawan kongsi pengalaman cuba peraduan uji kecergasan yang kian popular
Jun 26, 2025 | 2:22 PM
HYROX, peraduan kecergasan, wartawan
Wartawan, Khairul Akmal Ali, bersama rakan media yang lain, diberi peluang mencuba sendiri cabaran Hyrox, yang menguji daya tahan dan kekuatan melalui lapan stesen yang menguji kecergasan serta kekuatan peserta. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’ sangat tepat menggambarkan pengalaman saya ketika mencuba stesen-stesen Hyrox baru-baru ini.

Menyaksikan secara peribadi individu yang kelihatan kuat dan gagah memerah tenaga untuk menamatkan setiap stesen sudah cukup menggerunkan, apatah lagi apabila diminta mencubanya sendiri.

Saya memang mengagumi mereka yang menyertai pertandingan kecergasan sebegini, dan selepas merasai sendiri cabarannya, rasa hormat itu semakin menebal.

Menjelang Kejohanan Asia Terbuka AIA Hyrox, AIA Singapura telah menganjurkan sesi percubaan media di Fitness First pada 20 Jun.

Ia memberi peluang kepada anggota media dan peserta untuk melalui sendiri stesen-stesen Hyrox yang memerlukan daya ketahanan dan kekuatan tinggi.

Saya bersama rakan wartawan, Batrisyia Baharim, serta media lain diberi peluang mencuba kesemua lapan stesen Hyrox – SkiErg, Sled Push, Sled Pull, Burpee Broad Jumps, RowErg, Farmer’s Carry, Sandbag Lunges dan Wall Balls.

Antara stesen yang menarik perhatian saya adalah Wall Balls dan RowErg.

Kededua wartawan Berita Harian (BH), Khairul Akmal Ali dan Batrisyia Baharim, mencuba salah satu stesen Hyrox yang dipanggil ‘Wall Ball’. Mereka hanya dapat membuat beberapa kali lontaran sebelum terasa kepenatannya.
Kededua wartawan Berita Harian (BH), Khairul Akmal Ali dan Batrisyia Baharim, mencuba salah satu stesen Hyrox yang dipanggil ‘Wall Ball’. Mereka hanya dapat membuat beberapa kali lontaran sebelum terasa kepenatannya. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Wall Balls merupakan latihan yang memerlukan individu melontar bola berat – enam kilogram bagi lelaki dan empat kilogram bagi perempuan – ke dinding dan menangkapnya semula.

Sebelum melontar bola berat itu, individu tersebut harus membuat squat (mencangkung) sebelum lontaran tersebut dikira.

Bola tersebut harus mengena sasaran setinggi 3.05 meter untuk peserta lelaki dan 2.74 meter untuk peserta wanita.

Untuk acara Hyrox, peserta perlu melengkapkan 100 lontaran.

Bagi saya, tidak sampai 10 lontaran, sudah tidak bertenaga!

Stesen tersebut bukan sekadar memerlukan kekuatan, bahkan teknik yang betul juga perlu digunakan bagi memastikan bola tersebut mengenai sasaran dan tenaga tidak dihabiskan secara sia-sia.

Wartawan Berita Harian (BH) Batrisyia Baharim, mencuba ‘RowErg’ dengan bimbingan Ketua Program Hyrox, Elden Ng. Walaupun pada mulanya ia kelihatan mudah, lama-kelamaan ia makin mencabar dan menguji daya tahan individu.
Wartawan Berita Harian (BH) Batrisyia Baharim, mencuba ‘RowErg’ dengan bimbingan Ketua Program Hyrox, Elden Ng. Walaupun pada mulanya ia kelihatan mudah, lama-kelamaan ia makin mencabar dan menguji daya tahan individu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

RowErg pula merupakan mesin dayung yang menyerupai kegiatan mendayung.

Anda duduk dan menggunakan kaki, badan dan tangan untuk mengayuh mesin dayung secara berulang kali.

Bagi peserta Hyrox, mereka perlu mendayung sejauh 1,000 meter.

Apabila saya mencuba, saya dapati pada mulanya, ia agak mudah. Namun, setelah lama mengayuh, baru mula rasa lenguh.

Menurut Ketua Program Hyrox dan Jurulatih Peribadi di Fitness First, Elden Ng, RowErg, seperti stesen Hyrox yang lain, memerlukan tekniknya tersendiri.

“Teknik mendayung melibatkan satu susunan pergerakan yang lancar.

“Anda bermula dengan menolak menggunakan kaki, diikuti oleh mengayunkan badan ke belakang dan kemudian menarik dengan tangan,” jelas beliau.

Pengalaman mencuba stesen-stesen Hyrox membuat saya lebih sedar betapa mencabarnya Hyrox.

Kalau saya, yang diberikan ruang untuk mencuba stesen tersebut mengikut tahap keselesaan dan rentak sendiri, saya mendapatinya sukar menyelesaikan stesen-stesen itu, apatah lagi bagi mereka yang bersaing?

Peserta yang bersaing bukan hanya perlu melalui stesen-stesen tersebut, bahkan mereka harus berlari sejauh satu kilometer sebelum mencuba setiap stesen.

Namun, yang memeranjatkan bagi saya adalah pengalaman itu tidak menghalang saya, malah menggalakkan saya untuk berlatih dan bersenam agar dapat menyelesaikan stesen-stesen ini pada masa depan.

Jika ada kelapangan dan diberikan peluang, saya mungkin menyertai Hyrox pada masa akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg