Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shah tekad tamatkan kemarau menang, bina keyakinan

Singa berdepan Maldives dalam perlawanan persiapan jelang pertarungan mesti menang lawan Bangladesh 10 Jun
Jun 1, 2025 | 5:30 AM
Pemain tengah Singapura dan BG Tampines Rovers, Shah Shahiran, ingin membantu pasukan Singa mengakhiri kemarau kemenangan mereka dengan kemenangan atas Maldives pada 5 Jun di Stadium Bishan.
Pemain tengah Singapura dan BG Tampines Rovers, Shah Shahiran, ingin membantu pasukan Singa mengakhiri kemarau kemenangan mereka dengan kemenangan atas Maldives pada 5 Jun di Stadium Bishan. - Foto ST

Masa untuk menang adalah sekarang, demikian tekad pemain tengah pasukan Singa, Shah Shahiran.

Sudah lama – hampir enam bulan sejak pasukan Singa mencatat kemenangan terakhir – iaitu kemenangan 3-0 di peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric pada 14 Disember lalu ke atas Timor Leste, dan semangat juang skuad nasional kini membara, kata pemain tengah yang bertenaga itu.

Sejak itu, Singapura tewas kepada Thailand (4-2), Vietnam (5-1) dalam Piala AFF Mitsubishi Electric dan Nepal (1-0), semasa perlawanan persahabatan mereka.

Mereka juga seri dengan pasukan seperti Malaysia dan Hong Kong, sama ada dalam perlawanan rasmi atau persahabatan.

Dalam temu bual bersama Berita Minggu ( BM) menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia di Dhaka menentang Bangladesh – perlawanan penting untuk skuad Singa mendapatkan tiga mata penuh – Shah meluahkan harapan agar perlawanan tersebut menjadi titik perubahan buat pasukan.

Namun sebelum itu, pasukan Singa akan bertemu Maldives dalam satu-satunya perlawanan persiapan sebelum kempen kelayakan bermula.

“Kami sudah lama tidak menang – kemenangan terakhir apabila kami mengatasi Timor-Leste. Sebab itu perlawanan ini sangat penting. Kami perlu mula menang semula, demi keyakinan dan momentum pasukan,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Perlawanan itu juga merupakan aksi pertama pasukan Singa di bawah pucuk pimpinan baru FAS.

Namun, bagi Shah, perubahan tersebut tidak mengganggu fokus pasukan.

Hariss Harun kekal sebagai kapten walaupun kini turut memegang jawatan Naib Presiden FAS – sesuatu yang dilihat sebagai suntikan semangat tambahan baginya.

“Secara peribadi, tak banyak yang berubah. Hariss masih ketua kami, dan sekarang sebagai Naib Presiden, saya pasti beliau mahu capai sesuatu yang hebat. Itu memberi motivasi tambahan bagi kami semua,” katanya.

Menjelang perlawanan kelayakan penting menentang Bangladesh pada 10 Jun, Shah menegaskan bahawa kemenangan dalam perlawanan persahabatan itu amat diperlukan kerana masa latihan bersama pasukan kebangsaan amat terhad.

“Kami hanya dapat berkumpul masa tempoh rehat antarabangsa, tidak seperti di kelab yang boleh berlatih hari-hari. Jadi, kemenangan lawan Maldives sangat penting untuk membina keyakinan sebelum lawan Bangladesh.”

Beliau juga percaya bahawa penyokong Singa belum melihat prestasi terbaiknya.

“Saya sentiasa berusaha untuk menambah baik, dan saya percaya masih banyak lagi yang akan datang daripada saya. Saya pasti sentiasa ada ruang untuk tingkatkan prestasi lagi,” kata beliau.

“Bagi saya, setiap perlawanan dan latihan adalah peluang untuk berkembang, dan saya fokus untuk memberikan lebih banyak untuk pasukan dan penyokong.”

Mengulas mengenai keletihan selepas musim kelab yang panjang, beliau mengakui ia satu cabaran, tetapi pengurusan fisioterapi dan pemulihan membantu memastikan pemain kekal cergas.

“Pasukan fisio banyak membantu – urutan, rawatan ringan, semua semasa latihan serta hari rehat juga. Biasanya latihan kelab saya pun sebelah petang, jadi masih sempat rehat dan tidur cukup,” kata pemain tengah BG Tampines Rovers itu.

Musim SPL 24/25 bermula seawal 10 Mei 2024, tetapi hanya berakhir pada 25 Mei 2025.

Ini kerana musim ini, jadual perlawanan SPL adakan peralihan untuk mengikut Kalendar Eropah.

Shah juga merupakan antara pemain utama BG Tampines, dengan beliau bermain sebanyak 31 daripada 32 perlawanan SPL mereka.

Selain itu, BG Tampines terlibat dalam beberapa pertandingan, termasuk Piala Singapura dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pasukan Shah, berjaya mara ke final Piala Singapura, yang menyaksikan mereka menentang pasukan Hariss, Lion City Sailors.

Ini bermakna jadual pemain SPL seperti Shah sangat padat.

Selepas keputusan seri menentang Hong Kong dalam aksi kelayakan sebelum ini, perlawanan menentang Bangladesh kini dianggap sebagai perlawanan wajib menang untuk terus menghidupkan peluang pasukan Singa ke pusingan seterusnya.

“Setiap perlawanan penting. Tapi apabila kami seri dengan Hong Kong, semua menganggapnya sebagai kehilangan dua mata. Kalau kami menang lawan Bangladesh, itu akan beri kami kelebihan besar.”

Akhir sekali, beliau melahirkan penghargaan kepada para penyokong yang terus setia bersama pasukan dalam apa jua keadaan.

“Penyokong adalah pemain ke-12 kami. Menang, seri atau kalah, mereka tetap bersama kami. Dengan sokongan mereka, kami percaya kami boleh cabar mana-mana pasukan di Asia,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg