HANGZHOU (China): Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira merangkul pingat perak selepas mendapat tempat kedua dalam final acara larian pecut 100 meter wanita pada Sabtu.
Kemenangan perak itu menamatkan hampir 50 tahun penantian pingat Singapura dalam olahraga di Sukan Asia.
Warga Singapura terakhir untuk merangkul pingat adalah Chee Swee Lee, yang memenangi emas dalam 400 meter wanita pada 1974.
Pada Sabtu malam, Pereira, 27 tahun, mencatat masa 11.27 saat, kurang 0.07 saat daripada masa terbaiknya, 11.20 saat, di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Masa itu tidak cukup untuk mengatasi juara dan harapan tuan rumah China, Ge Manqi (11.23 saat) tetapi berjaya mengatasi Hajar Alkhaldi dari Bahrain, yang menduduki tempat ketiga (11.35 saat).
Dalam pusingan saringan pada Jumaat, Pereira mencatat masa 11.42 saat dan menduduki tempat keenam secara keseluruhan.
Prestasi Pereira di Hangzhou adalah yang terbaiknya di Sukan Asia sejauh ini.
Sabtu merupakan penampilan sulung Pereira dalam final Sukan Asia.
Prestasi terbaiknya sebelum itu adalah dalam separuh akhir 200 meter semasa edisi 2018 di Indonesia.
Pereira akan kembali di trek pada Ahad untuk beraksi dalam 200 meter, iaitu acara kegemarannya.
Sejak Mac, Shanti telah enam kali mencatat semula rekod kebangsaan 100 meter dan mengatasi masa 200 meternya empat kali.
Pada Mei, beliau memenangi emas dalam 100 meter dan 200 meter dalam Sukan SEA di Kemboja, untuk menjadi wanita Singapura pertama yang meraih kemenangan berganda dalam acara larian pecut.
Beliau mengulangi kejayaan itu dalam Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok dua bulan kemudian.
Semasa Kejohanan Olahraga Dunia pada Ogos, beliau menjadi warga Singapura pertama melangkah ke separuh akhir setelah mencatat masa 22.57 saat dalam pusingan saringan 200 meter, dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Rakan senegara Marc Brian Louis turut cemerlang di Hangzhou apabila memecah rekod kebangsaan yang dimiliki U.K Shyam selama 22 tahun dalam acara larian pecut 100 meter lelaki.
Rekod kebangsaan bagi acara tersebut, 10.37 saat, dicatat oleh Shyam pada 2001.
Pada Sabtu, Louis, 21 tahun, mengatasi rekod itu dengan sesaat lebih pantas ketika meraih masa 10.27 saat dalam Separuh Akhir Ketiga.
Berkongsi reaksinya bersama media Singapura susulan perlumbaan itu, Louis berkata:
“Saya berdiri di sana (di trek) untuk menantikan masa saya dipaparkan pada skrin.”
Skrin besar di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou mengambil masa untuk menyiarkan keputusan perlumbaan, bermula dengan nama dan masa pemenang dan diikuti dengan pelari di kedudukan seterusnya.
Louis menamatkan perlumbaan separuh akhirnya di tempat keenam.
Secara keseluruhan, beliau menduduki tempat ke-13 daripada 24 pesaing dan tidak dapat menempah tempat ke final.
“Ia berhenti dan saya hanya harus tunggu lagi. Dan akhirnya apabila saya melihat 10.27 saat, saya melompat. Saya benar-benar gembira. Akhirnya, saya dapat memecah rekod kebangsaan. Saya telah menunggunya sepanjang tahun.”
Prestasi pada Sabtu malam menunjukkan peningkatan besar untuk Louis yang mencatat masa terbaik peribadinya, 10.38 saat, dalam pusingan saringan pada sehari sebelumnya.
Sehingga Sabtu, pungutan pingat Singapura di Hangzhou kini adalah dua emas, lima perak dan empat gangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg