Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanti Pereira ratu pecut 200m Asia

Oct 2, 2023 | 7:58 PM
MENANG EMAS: Shanti Pereira merangkul pingat emas sukan olahraga pertama Singapura di Sukan Asia dalam tempoh hampir 50 tahun.
MENANG EMAS: Shanti Pereira merangkul pingat emas sukan olahraga pertama Singapura di Sukan Asia dalam tempoh hampir 50 tahun. - Foto AFP

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, terus mencipta sejarah di Hangzhou, China, apabila merangkul pingat emas sukan olahraga pertama Singapura di Sukan Asia (Asiad) dalam hampir 50 tahun.

Pada Isnin malam, Pereira, 27 tahun, berlari dengan mantap untuk menjadi pelari pertama melepasi garisan penamat di Stadium Pusat Olimpik Hangzhou dengan catatan masa 23.03 saat dalam final acara pecut 200 meter.

Kemenangan Pereira menamatkan penantian 49 tahun Singapura untuk meraih pingat emas dalam sukan olahraga di pentas terbesar benua ini.

Pingat emas terakhir negara adalah pada 1974 yang dimenangi oleh Chee Swee Lee dalam acara pecut 400 meter wanita di Teheran, Iran.

Pereira hanyalah warga Singapura ketiga – dan wanita yang kedua – untuk memenangi pingat emas dalam sukan olahraga di Asiad.

Seorang lagi adalah Ng Liang Chiang pada edisi 1951.

Ng merangkul pingat emas dalam acara lompat pagar 110 meter lelaki di New Delhi, India.

Pelari China, Li Yuting, muncul di tempat kedua acara 200 meter dengan masa 23.28 saat untuk meraih pingat perak, manakala Edidiong Odiong dari Bahrain membawa pulang pingat gangsa (23.48).

Pada Sabtu, Pereira menghasilkan pingat sukan olahraga pertama negara dalam Asiad sejak pingat emas Chee.

Pereira meraih pingat perak selepas menduduki tempat kedua dalam final acara pecut 100 meter.

Kemenangan pingat emas dan perak itu adalah yang pertama buat Pereira di Sukan Asia.

Prestasi terbaiknya sebelum ini adalah di separuh akhir 200 meter pada edisi 2018 di Indonesia.

Pencapaian di Hangzhou itu menyempurnakan musim 2023 yang cemerlang untuk Pereira.

Sejak Mac, beliau telah enam kali mencatat semula rekod kebangsaan 100 meter dan mengatasi masa 200 meternya empat kali.

Pada Mei, Pereira memenangi emas acara 100 meter dan 200 meter dalam Sukan SEA di Kemboja, untuk menjadi wanita Singapura pertama meraih kemenangan berganda dalam acara pecut.

Beliau mengulangi kejayaan itu dalam Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok dua bulan kemudian.

Di Kejohanan Olahraga Dunia pada Ogos pula, Pereira menjadi warga Singapura pertama sampai ke separuh akhir setelah mencatat masa 22.57 saat dalam pusingan saringan 200 meter, dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sehingga Isnin, pungutan pingat Singapura di Hangzhou kini adalah tiga emas, lima perak dan empat gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg