Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, mencipta sejarah selepas melayakkan diri ke acara peringkat akhir Sukan Komanwel buat kali pertama, tetapi cita-cita atlet berusia 29 tahun itu tidak berakhir di situ kerana beliau mengharapkan persembahan yang lebih baik.

Di Stadium Scotstoun, Glasgow, pada 31 Julai (1 Ogos waktu Singapura), Pereira meraih kedudukan kelapan daripada lapan atlet selepas mencatatkan masa 23.21 saat dalam acara peringkat akhir 200 meter wanita.

Adaejah Hodge dari British Virgin Islands mendahului barisan pelari untuk merangkul emas dengan mencatat masa 22.07 saat. 

Shaniqua Bascombe dari Trinidad and Tobago (22.35 saat) dan Alana Reid dari Jamaica (22.56 saat) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Selepas perlumbaannya, Pereira berkata:

“Boleh jadi lebih baik, saya berharap dapat catat masa yang lebih baik dan kedudukan yang lebih baik, tetapi secara jujurnya, saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat berlumba dalam acara final ini.

“Rasa hebat semasa memanaskan badan dan berbaris bersama wanita lain yang begitu kuat, dan cuacanya sangat sejuk! Tetapi ia merupakan pengalaman yang hebat dan saya gembira dengan semua persembahan saya setakat ini bagi acara individu.”

Pereira, yang meraih pingat emas dalam acara 200 meter di Sukan Asia, mengalami kecederaan pada tulang fibula (betis) menjelang Sukan Olimpik di Paris pada 2024, dan menarik diri daripada acara 200 meter dalam Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Singapura akibat kecederaan kecil pada April.

Beliau berkata:

“Saya cuba lihat sama ada saya boleh berlari lebih laju hari ini, kalau keadaan baik. Tapi saya perlu ingat, saya sudah berlumba dalam empat acara sebelum ini.

“Hakikatnya, saya sihat dan masih dapat bertanding, itu sahaja sudah satu keistimewaan besar. 

“Sukan Komanwel merupakan sukan yang begitu kompetitif sehingga ia hampir setanding dengan Sukan Olimpik atau kejohanan dunia, jadi adalah amat bermakna bagi saya dapat berlumba dengan wanita hebat dari negara yang terkenal bagi atlet bertaraf dunia, dapat terus membawa nama Singapura ke peta dunia, dan rasanya hebat.”

Pereira kemudiannya bergabung dengan Amanda Loo, Elizabeth-Ann Tan dan Kerstin Ong dalam acara larian berganti 4x100 meter wanita pada 1 Ogos, mencatatkan masa 45.52 saat untuk tamat di tempat kelima dalam acara kelayakan mereka dan kesembilan daripada 12 pasukan secara keseluruhan.

Kuartet larian berganti 4x100 meter lelaki yang terdiri daripada Marc Louis, Tate Tan, Xander Ho dan Ian Gan turut tamat di tempat kelima dalam acara kelayakan mereka dengan masa 40.07 saat, meletakkan mereka di kedudukan ke-10 daripada 13 pasukan secara keseluruhan.

Kedua-dua pasukan gagal melayakkan diri ke acara peringkat akhir.

Dalam acara lompat kijang lelaki, Gabriel Lee melompat sejauh 15.97 meter untuk meraih tempat ketujuh daripada 10 atlet.

Pada 30 Julai, Pereira menjadi pelari Singapura pertama yang melayakkan diri ke acara peringkat akhir individu dalam acara ini, selepas mencatatkan masa terbaiknya musim ini iaitu 22.81 saat dalam separuh akhir untuk tamat di tempat kelapan secara keseluruhan.

“Boleh jadi lebih baik, saya berharap dapat catat masa yang lebih baik dan kedudukan yang lebih baik, tetapi secara jujurnya, saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat berlumba dalam acara final ini.... Ia merupakan pengalaman yang hebat dan saya gembira dengan semua persembahan saya setakat ini bagi acara individu.”
Shanti Pereira.