BANGKOK: Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, muncul juara Asia selepas menamatkan acara 100 meter wanita dengan masa 11.20 saat di Kejohanan Atletik Asia pada Jumaat.
Meskipun bermula agak perlahan, namun atlet berusia 26 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan hebat di hadapan Farzaneh Fasihi dari Iran (11.39 saat) dan pelari China, Ge Manqi (11.40 saat), di Stadium Nasional Suphachalasai di ibu kota Thailand.
Shanti turut memperbaiki rekod nasionalnya sebanyak 0.06 saat menerusi lariannya itu.
Dengan pingat emas yang diraih, Shanti mengakhiri kemarau pingat Singapura selama 16 tahun di acara serantau itu.
Atlet terakhir yang memenangi di kejohanan tersebut adalah Rachel Yang yang meraih perak dalam acara lompat bergalah pada 2007.
Pada Mei, Shanti menjadi wanita Singapura pertama yang menamatkan dua larian pecut dengan pingat emas – 100 meter dan 200 meter – di Sukan SEA Kemboja.
Berdasarkan masa yang dicatatnya bagi musim ini, beliau juga dijangka menjadi pesaing bagi satu lagi pingat di kejohanan Asia kali ini.
Acara selanjutnya bagi beliau adalah acara 200 meter yang akan bermula pada Sabtu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg