Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tampines kekal rekod tanpa kalah, Albirex keluar dari tangga corot

LCS turut catatkan kemenangan untuk perkukuh kedudukan di tangga kedua, sambil meletakkan tekanan ke atas Tampines di persada liga
Aug 5, 2024 | 2:00 PM
Penyerang Jerman LCS, Lennart Thy (kanan), menjaringkan dua gol bagi membantu LCS menang 3-0 dalam perlawanan menentang Brunei DPMM.
Penyerang Jerman LCS, Lennart Thy (kanan), menjaringkan dua gol bagi membantu LCS menang 3-0 dalam perlawanan menentang Brunei DPMM. - Foto SPL

BG Tampines Rovers mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini setelah menang mudah menentang Tanjong Pagar United 3-0 di Stadium Jurong East pada 3 Ogos.

Kemenangan Tampines itu dicapai tanpa pasukan bimbingan Gavin Lee perlu bermain pada tahap intensiti terlalu tinggi dengan Tanjong Pagar gagal mempamerkan cabaran bermakna sepanjang 90 minit perlawanan.

Gol-gol Tampines itu hasil jaringan penyerang Boris Kopitovic pada minit ke-15 dan Seia Kunori pada minit ke-24 serta Faris Ramli sebelum waktu rehat.

Penyerang Tampines Boris Kopitovic (tengah) meraikan gol beliau yang membuka tirai jaringan pada minit ke-15.
Penyerang Tampines Boris Kopitovic (tengah) meraikan gol beliau yang membuka tirai jaringan pada minit ke-15. - Foto SPL

Kemenangan kesembilan Tampines itu memperkukuh kedudukan mereka di persada liga dengan 29 mata.

Hanya satu mata di belakang ialah pasukan Lion City Sailors (LCS).

LCS turut mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pada 3 Ogos – kemenangan ketiga mereka berturut-turut – setelah menewaskan Brunei DPMM 3-0 di Stadium Bishan.

Penyerang Jerman LCS, Lennart Thy, menjaringkan dua gol pada minit ke-20 dan ke-69 manakala Shawal Anuar menyempurnakan tugas LCS dengan gol kedua pasukan itu pada minit ke-50.

Thy, 32 tahun, yang turut disampaikan Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan, berkata:

“Saya benar-benar gembira setelah mula menjaringkan gol secara lebih kerap dan ini kerana saya semakin selesa bermain dengan pasukan ini.

“Saya yakin lebih banyak gol akan saya jaringkan dan saya mahu terus membantu LCS mencatatkan kemenangan.”

Sementara itu, dalam perlawanan pada 2 Ogos, Hougang United menewaskan Geylang International 1-0 di Stadium Jalan Besar, kekalahan pertama Geylang dalam lima perlawanan.

Geylang yang bertali arus mengasak kubu Hougang gagal menyamakan kedudukan setelah ketinggalan satu gol menerusi jaringan Dejan Racic pada minit ke-35.

Pemain pertahanan Albirex, Kenn Yoshimura (kanan), bergelut untuk mendapatkan bola daripada kapten Young Lions, Ryan Sanizal.
Pemain pertahanan Albirex, Kenn Yoshimura (kanan), bergelut untuk mendapatkan bola daripada kapten Young Lions, Ryan Sanizal. - Foto SPL

Satu lagi perlawanan bagi melengkapi jadual pertandingan minggu lalu melihat juara bertahan, Albirex Nigata (S) menang tipis 2-1 ke atas pasukan Young Lions.

Kemenangan Albirex itu melihat pasukan tersebut melompat ke tangga ketujuh dengan sembilan mata, satu mata di depan pasukan Young Lions yang menduduki tangga kelapan dan dua mata di depan pasukan corot, Tanjong Pagar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg