Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sheik Farhan, Loh Kean Yew antara calon utama Anugerah Sukan S’pura

Aug 4, 2023 | 9:04 PM
CALON OLAHRAGAWAN: Johan dunia pencak silat, Sheik Farhan Sheik Allau’ddin, antara calon finalis anugerah kali ini.
CALON OLAHRAGAWAN: Johan dunia pencak silat, Sheik Farhan Sheik Allau’ddin, antara calon finalis anugerah kali ini. - Foto fail

Persaingan Anugerah Sukan Singapura 2022 dijangka sengit tahun ini dengan beberapa atlet terkemuka dinamakan sebagai finalis Olahragawan Terbaik.

Jaguh badminton, Loh Kean Yew, dan johan dunia pencak silat Sheik Farhan Sheik Alau’ddin akan bersaing bagi anugerah Olahragawan Terbaik manakala bekas pemain tenis meja, Feng Tianwei, akan berusaha memenangi anugerah keempatnya sebagai Olahragawati Terbaik negara.

Ketiga-tiga individu itu merupakan antara calon anugerah itu yang diumumkan pada Khamis sempena penyampaian Anugerah Sukan Singapura 2022 yang bakal berlangsung di Hotel Orchard pada 23 Ogos.

BURU ANUGERAH KEEMPAT: Feng Tianwei sebelum ini dinobat Olahragawati Terbaik pada 2010, 2013 dan 2018.
BURU ANUGERAH KEEMPAT: Feng Tianwei sebelum ini dinobat Olahragawati Terbaik pada 2010, 2013 dan 2018. - Foto fail

Dianjur Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Sport Singapore (SportSG) serta disokong Tote Board, anugerah tersebut mengiktiraf individu serta pasukan di atas prestasi dan pencapaian mereka bagi tahun 2022.

Loh, dinamakan Olahragawan Terbaik pada edisi yang lalu, selepas mencapai tahap kemuncak dalam kerjayanya dengan meraih kedudukan nombor tiga dunia pada 2022 – setaraf srikandi badminton Zarinah Abdullah yang mencapai kedudukan sama pada 1994 dalam kategori perseorangan wanita.

Meskipun Loh masih belum muncul sebagai juara sejak menjuarai Kejohanan Dunia pada 2021, pemain berusia 26 tahun itu meraih pingat perak dalam pertandingan perseorangan lelaki di Sukan SEA di Hanoi serta kedudukan kedua di Terbuka India 2022.

DICALON LAGI: Loh Kean Yew dinamakan Olahragawan Terbaik pada edisi Anugerah Sukan Singapura yang lalu.
DICALON LAGI: Loh Kean Yew dinamakan Olahragawan Terbaik pada edisi Anugerah Sukan Singapura yang lalu. - Foto AFP

Loh juga menyertai pasukan bercampur yang memenangi pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham.

Bercakap kepada The Straits Times, Loh berkata beliau berasa “amat rendah hati dan terharu” kerana dinamakan sebagai calon.

“Selepas dinamakan Olahragawan Terbaik tahun lalu, ia merupakan satu pencapaian luar biasa dalam kerjaya saya dan saya sangat menghargai sokongan daripada pasukan saya, jurulatih, peminat dan keluarga saya yang telah membantu saya sampai ke tahap ini,” katanya.

Selain Loh, Farhan juga akan bertanding bagi anugerah tersebut.

Farhan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2022 sebelum mencapai kedudukan pertama sedunia buat kali keempat dalam kerjayanya dua bulan kemudian.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata: “Ia satu penghargaan besar dinamakan sebagai calon anugerah tersebut. Ia sentiasa merupakan perasaan manis apabila pencapaian kami dalam sukan ini diiktiraf selepas kami bekerja keras untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.”

Atlet lawan pedang Jonathan Au Eong; perenang Teong Tzen Wei; dan pemain xiangqi – atau catur Cina – Alvin Woo merupakan antara calon lain bagi kategori Olahragawan Terbaik.

Sementara itu, calon anugerah Olahragawan Terbaik wanita lain termasuk pejuang pencak silat Siti Khadijah Shahrem; pemain xiangqi Ngo Lan Huong; perenang Quah Jing Wen; pemain boling, Cherie Tan; atlet memanah Contessa Loh; dan penembak Teh Xiu Hong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg