Sport Singapore (SportSG) telah melancarkan satu lawatan berpandu baru yang dinamakan ‘Of Art, Fort and Sport: A Katong-Kallang Tour’ (Seni, Kubu dan Sukan: Jelajah Katong-Kallang) yang bertujuan menghubungkan golongan belia Singapura dengan sejarah sukan negara.
Lawatan itu direka untuk memberi inspirasi kepada golongan muda dengan membawa mereka menyusuri perjalanan perubahan Singapura – dari zaman awal hingga kemerdekaan – melalui seni, budaya, dan warisan.
Daya usaha itu dibangunkan oleh SportSG dengan kerjasama Kallang Alive Sport Management (KASM), Konsultan Sejarah Singapura (SHC) dan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Usaha kolaboratif itu mencerminkan pendekatan bersepadu antara agensi pemerintah dengan pertubuhan seni dalam memperkukuh pemahaman sejarah nasional melalui pendekatan pelbagai dimensi.
Selain itu, usaha tersebut mendorong belia mengenali kisah dan pencapaian wira-wira sukan terdahulu, sekali gus memupuk rasa bangga terhadap negara dan membangun semangat kekitaan dalam masyarakat.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pendidikan Seni NAC dan membawa pelajar menerokai tapak-tapak bersejarah serta arca-arca ikonik dari Katong ke Kallang – termasuk Galeri Warisan Kolam Renang Katong dan pameran ‘The Kallang Story: A Sports, Arts and Heritage Trail’ (Kisah Kallang: Jejak Sukan, Kesenian dan Warisan) di Hab Sukan Singapura.
Teresa Guttensohn, Penolong Pengarah Warisan Sukan di SportSG, menekankan pentingnya inisiatif itu dalam menghargai tempat, detik bersejarah dan individu yang telah membentuk identiti kebangsaan Singapura.
“Kisah sukan kita merupakan sebahagian penting dalam pembentukan identiti negara. Menerusi program ‘Of Art, Fort and Sport’, kita meraikan tempat, detik dan insan yang telah mencorak siapa kita pada hari ini,” kata beliau.
“Harapan kami agar para belia Singapura dapat mendalami hubungan antara sejarah dengan masa kini, serta menjiwai semangat daya tahan, kebanggaan, dan semangat juang yang mencerminkan jiwa negara kita.”
Khainurizah Koh, Timbalan Pengarah Pendidikan di NAC, pula meluahkan komitmen majlis itu dalam menerapkan seni ke dalam pembelajaran pelajar, dengan harapan ia dapat menanam rasa bangga terhadap identiti unik Singapura.
“NAC komited untuk menyediakan pengalaman seni yang bermakna kepada semua peringkat usia, termasuk generasi muda. Dengan pelancaran program baru ini di bawah inisiatif Program Pendidikan Seni, Majlis Seni Kebangsaan (NAC-AEP), para pelajar dapat mengenali identiti budaya kita melalui seni sambil menjelajahi mercu tanda penting di Singapura,” katanya.
“Kami berharap pelajar akan membawa pulang bukan sahaja ilmu, malah rasa bangga terhadap jati diri Singapura yang istimewa ini,” tambah beliau.
Lawatan tersebut kini disenaraikan dalam direktori NAC-AEP dan boleh ditempah oleh pihak sekolah pada kadar bersubsidi.
Dengan kadar bersubsidi yang ditawarkan, lebih banyak institusi pendidikan dapat mengambil bahagian, sekali gus meluaskan jangkauan dan kesan positif program itu bagi pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Menerusi kerjasama itu, SportSG dan rakan-rakannya berhasrat memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan sukan dalam kalangan generasi masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg