Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sheik Ferdous atasi pelbagai rintangan untuk kembali bergelar juara dunia

S’pura raih tiga emas dan 13 gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia yang berlangsung di Abu Dhabi
Dec 23, 2024 | 3:33 PM
Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin meraih gelaran dunia keduanya pada 22 Disember.
Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin meraih gelaran dunia keduanya pada 22 Disember. - Foto PERSISI

Sejurus selepas menewaskan pesilat Indonesia, Shafril Asad Habibullah, 19-10 untuk meraih gelaran dunia keduanya pada 22 Disember, jaguh silat negara, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, memandang sekilas ke arah kamera televisyen dan sekadar mengangkat bahunya.

Ia seolah-olah isyarat bersahaja namun penuh yakin daripada seorang atlet yang baru sahaja menamatkan penantian selama enam tahun untuk merampas semula gelaran juara dunia.

Kembali bersaing dalam kategori berat badan pilihannya – Kelas I (85-90kg) – di kejohanan yang berlangsung di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi, Ferdous, 28 tahun, memang berazam mahu membuktikan pengkritiknya salah.

“Matlamat saya berbeza... kali pertama adalah seperti, ‘Saya mahu memenanginya untuk Singapura, ini adalah kali pertama saya akan menjadi juara dunia’.

“Keinginan untuk menang adalah sama, jika tidak lebih. Lebih penting lagi, saya mahu membuktikan kepada diri sendiri dan juga mereka yang meragukan keupayaan saya bahawa saya mahu mampu beraksi di peringkat tinggi... masih jadi juara dunia.

“Ia adalah untuk mengesahkan bahawa saya masih mampu berada di tahap ini dan perbezaan kali ini ialah ia tidak dianjurkan di tanah air sendiri, jadi tidak ada sebab untuk mengatakan saya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya, lapor The Straits Times.

Azam Ferdous memang membara selepas melalui beberapa tahun yang penuh cabaran.

Pada 2022, jurulatih silat nasional, Mochammad Ichsan Nur Romadhon, meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Bali.

Setahun kemudian, Ferdous didenda $8,000 dan dilarang memandu selama 48 bulan kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

November lalu, bapanya, Sheik Alau’ddin Yacoob Marican, ditahan kerana disyaki pecah amanah.

Bekas Ketua Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (Persisi) itu kini sedang membantu Jabatan Ehwal Komersial dengan siasatan ke atas “penyelewengan kewangan” dalam pertubuhan tersebut.

Ferdous berkata: “Masa-masa sukar itu membantu saya memberi tumpuan, mencari dan membina kekuatan diri. Pada masa yang sukar itu, kadang-kadang saya terasa sunyi.

“Saya memang mempunyai orang-orang yang sentiasa memberi sokongan tetapi di dalam hati ini... saya masih perlu mencari kekuatan dan keyakinan ke atas kemampuan saya.”

Kejayaannya di Kejohanan Pencak Silat Dunia menyumbang kepada pencapaian membanggakan kontinjen silat Singapura di Abu Dhabi yang keseluruhannya membawa pulang tiga emas dan 13 gangsa.

Dua lagi juara ialah abangnya, Sheik Farhan, dan Muhammad Iqbal Abdul Rahman. Masing-masing menang Kelas J (90-95kg) dan acara tunggal lelaki.

Farhan merangkul kejuaraan kelimanya – selepas juga bergelar juara dunia pada 2015, 2016, 2018 dan 2022 – dengan kemenangan 27-13 ke atas pesilat Indonesia, Hendri Fardli.

Iqbal pula mengatasi rakan senegara Hendri, Syarief Hidayatullah Suhaimi, 9.555-9.550 untuk memperolehi mahkota dunia ketiganya.

Mengulas kejayaannya, Sheik Farhan, 26 tahun, berkata:

“Persediaan itu sendiri lebih memenatkan berbanding pertandingan kerana pertandingannya singkat tetapi persiapannya sangat panjang dan ia memerlukan tumpuan sepenuh anda dari segi fizikal dan mental.

“Ia proses berbulan-bulan atau lebih, jadi akhirnya selepas selesai, saya telah menang dan ya, itu sesuatu yang sangat menggembirakan... dan lega juga kerana kerja keras saya telah membuahkan hasil yang diharapkan.”

Juara dunia lima kali itu mengakui bahawa beliau tidak suka kalah, dan boleh mengira bilangannya semasa ditimpa kekecewaan sejak 2015: lima – iaitu bilangan dengan sebelah tangan, dan menambah beliau tidak mahu menjadikan bilangannya itu mencecah dua tangan.

Beliau berkata: “Saya hanya mahu memberi tumpuan untuk menang dalam setiap pertandingan.

“Tidak kira sama ada kecil atau besar, saya tidak akan memikirkannya tidak mengapa jika saya tidak memenangi emas. Ia adalah satu proses yang saya lalui sejak saya masih muda dan saya telah membinanya semasa saya membesar.”

Di Kejohanan Dunia Remaja yang diadakan di tempat yang sama, pesilat Singapura pula merangkul sembilan emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg